Tuesday, January 14, 2014

sunnah alam

Allah menyebut tentang sunnah alam ini di dalam al-Quran:


"Sunnatullah" (peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi; dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu. (al fath : 23)


Hassan al-Banna pernah berkata:


“Janganlah kamu melawan sunnah alam kerana sunnah alam ini begitu berkuasa. Namun kuasailah ia, gunakanlah ia, alihkanlah haluannya dan gabungkan segala elemen yang ada. selepas itu, nantikanlah detik kemenangan yang akan kamu perolehi tidak lama lagi”. (himpunan risalah: 243-244)


Ini adalah satu kuasa yang banyak diabaikan oleh kita sebagai pendakwah Islam - sunnah alam. Pendakwah Agung Imam as-Syahid Hassan al-Banna sentiasa mengulangi tentang kekuatan sunnah alam dan keperluan kita sebagai pendakwah untuk menggunakannya dengan sebaiknya dan bukannya mengabaikannya atau cuba untuk melawannya.

apa itu sunnah alam?

sunnah alam adalah sejenis undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah untuk alam ini. Undang-undang itu meliputi peredaran planet dan cuaca, hukum graviti, matematik dan fizik, hukum masa dan peralihan siang dan malam, hukum kehidupan tumbuhan dan haiwan dan hukum manusia. Hukum hidup manusia ini pula meliputi pelbagai bidang yang berkait antara satu sama lain iaitu hukum badan dan anatomi, hukum pemikiran dan ilmu, hukum perasaan, hukum roh, hukum ekonomi, hukum sosial dan antarabangsa, hukum politik dan ketenteraan, hukum teknologi ciptaan manusia dan sebagainya.


berkata Said Hawwa dalam hal ini:


“KIta orang-orang Islam juga dengan orang-orang lain, dikuasai oleh sunnah alam. cuma kita mempunyai inayat dan rahmat yang khusus dari Allah, serta bantuanNya yang khusus SEKIRANYA kita bertaqwa kepadaNya. seseorang saudara (al-akh) yang melupai sunnah alam, patutlah kita peringatkan kepadanya bahawa dia tidak boleh tidak bernafas dan tidak boleh tidak makan. Ini menunjukkan bahawa dia mesti tunduk kepada sunnah alam dan peraturannya. Dengan itu wajib kita mengetahui sunnah alam dan berusaha menundukkannya. (Syeikh Said Hawwa, Pendidikan Harakah Islamiyah: 99)


Allah telah menetapkan hukum ini sejak diciptakan alam ini dan manusia dikehendaki untuk menggunakan hukum ini yang dipanggil sebagai sunnah alam untuk kelebihan mereka. Manusia yang berjaya adalah manusia yang mengawal hukum ini dan manusia yang gagal adalah manusia yang melarikan diri atau cuba melawan hukum ini.

Perjalanan hidup para nabi adalah mengikut sunnah alam


betapa besarnya sunnah alam ini hinggakan para rasul dan nabi yang disayangi Allah juga tidak terlepas dari mengikut peraturan alam. Para nabi menyeru umatnya menggunakan medium yang boleh digunakan oleh semua manusia, para nabi berperang menggunakan senjata yang juga digunakan oleh musuhnya, mereka cedera dan terbunuh seperti mana juga manusia yang lain cedera dan terbunuh. Ini tepat dengan firman Allah:


Dan Kami tidak menjadikan Rasul-rasul itu bertubuh badan yang tidak makan minum, dan mereka pula tidak akan kekal hidup selama-lamanya (di dunia). (Al-Anbiyaa' 21:8)


Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya). (Al-Furqaan 25:20)


Kelebihan para rasul adalah mukjizat yang mengalahkan sunnah alam



Mukjizat adalah satu kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada para nabiNya untuk membantu agamaNya ketika mana yang Allah kehendaki. Mukjizat ini adalah sesuatu yang melangkaui sunnah alam dengan izin Allah s.w.t. Terlalu banyak mukjizat yang disebut oleh al-Quran dan hadith yang diberikan kepada para Rasul.


Malangnya, walau berbagai jenis mukjizat telah diberikan kepada manusia, mereka mendustakannya malah membunuh nabi-nabi mereka. Firman Allah:


Dan mereka pula bersumpah dengan nama Allah, dengan menegaskan sumpah mereka bersungguh-sungguh, bahawa sesungguhnya jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana yang mereka minta itu), tentulah mereka akan beriman kepadanya. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bahawa soal mendatangkan mukjizat-mukjizat itu hanyalah Allah yang menentukannya, dan kamu tidak menyedari (wahai orang-orang Islam), bahawa apabila mukjizat-mukjizat (yang mereka minta) itu datang, mereka juga tidak akan beriman.
(Al-An'aam 6:109)


kelebihan untuk mengatasi sunnah alam juga diberikan kepada manusia selain nabi dinamakan karomah (keramat)



kelebihan untuk mengatasi sunnah alam juga dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambaNya yang terpilih sahaja. perkara ini berlaku kepada sahabat baginda Nabi Muhammad, seperti saidina Umar yang boleh melihat perang dari jarak jauh atau Uthman bin Affan yang boleh melihat (khasyaf) tanda zina pada mata seorang pemuda.


berkata Hassan al-Banna dalam hal ini:


Mencintai orang-orang soleh, menghormati dan memberikan pujian kepada amalan-amalan baik yang mereka lakukan adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Wali-wali Allah adalah mereka yang disebut oleh Allah di dalam Al-Quran iaitu orang yang beriman dan bertaqwa. Keramat yang berlaku ke atas mereka hendaklah terjadi dengan syarat-syarat yang menepati syarak dan mempercayai bahawa mereka adalah hamba yang diredhai Allah. Mereka tidak mampu untuk memberi manfaat atau mendatangkan mudharat ketika hidup ataupun mati. Mereka juga tidak mampu memberikan kurnia yang ada pada mereka itu kepada orang lain.
(usul ke 13 risalah taalim)


Tetapi kelebihan untuk mengatasi dan menolak sunnah alam ini hanya diberikan kepada orang-orang yang terpilih sahaja dan ianya bersifat HARUS bagi Allah untuk mengurniakan keramat/pertolongan ataupun tidak kepada seseorang. Firman Allah s.w.t:


Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (A-li'Imraan 3:26)


Sejarah bukti dunia ini dikuasai sunnah alam



sesiapa sahaja yang mengkaji sejarah dunia dan bukannya sejarah Islam semata-mata pasti akan dapat mengetahui bahawa dunia ini dikuasai oleh sunnah alam dari dahulu hingga kini. Saya berikan sedikit contoh di sini:


  1. Pembunuhan masyarakat baghdad yang berjumlah jutaan orang oleh tentera monggol. Monggol cuma mampu dikalahkan kembali oleh pemerintah Mamluk di Ain Jalut, itupun tidaklah sampai menumbangkan pemerintahan Monggol. Tidakkah Allah menyayangi ulama dan orang Islam yang tidak berdosa di samping ilmu-ilmu yang hilang bersama-sama buku-buku yang dirosakkan?
  2. Penaklukan kembali Kerajaan Islam Andalus oleh tentera Sepanyol dalam operasi Reconquesta 1212-1492 - ratusan ribu jika tidak jutaan yang dibunuh, dihalau, dipaksa makan babi, dimurtadkan dan anak-anak mereka dikristiankan dan kerajaan Islam itu tidak bangkit hingga sekarang - tidakkah Allah menyayangi seluruh ummat itu yang satu negara akidah mereka tergadai?
  3. Puluhan ribu jika tidak ratusan (terdapat banyak percanggahan pendapat hatta ada yang menyatakan jutaan) penduduk asal Australia dipanggil Aboriginal dibunuh melalui peperangan atau wabak yang dihantar dan ramai yang dihalau dan anak-anak mereka dilarikan (the lost generation) ketika penaklukan british dan hingga kini tiada pembalasan untuk kekejaman ini.
  4. Jutaan penduduk Bosnia dibunuh dan puluhan ribu diperkosa tanpa sebarang pembelaan. Bahkan tentera Serbia yang melakukan pembunuhan dikurniakan negara sendiri dinamakan Republika Srpska. Tidakkah Allah menyayangi umat Islam di negara Balkan ini?


Dan pelbagai pembunuhan dan penindasan besar-besaran yang dilakukan kepada penduduk Islam dan bukan Islam di Algeria, Amerika Utara dan Selatan, Afrika, Greece, Palestin, Syiria, Iraq, Filipina, Myammar, India, Mesir, Sudan dan sebagainya oleh kuasa Emperialis yang muncul sejak dari abad ke 16 hingga sekarang bermula dari penjajahan Sepanyol, Portugis kemudian dilanjutkan oleh British, Perancis, Itali, Belanda, Rusia dan sekarang diteruskan oleh Amerika dan sekutunya di Blok Barat serta Rusia, China dan sekutunya di Blok Timur.  


Penjajahan ini sudah mencecah 500 tahun dan belum nampak tanda-tanda akan surut bahkan semakin kencang. apa yang saya ingin nyatakan di sini tidak semua kezaliman akan dibalas di dunia ini dan Allah s.w.t tidak akan menolong kita tanpa kita menolong diri kita sendiri dengan memanipulasi sunnah alam. Yang menariknya ramai di kalangan kita yang terlalu cepat termakan dengan ramalan-ramalan indah tentang kebangkitan Islam atau kedatangan hari kiamat kerana sudah tidak nampak daya upaya untuk memenangkan Islam. Kita cuma mampu berserah kepada tanda-tanda kedatangan kiamat untuk menang.


Jangan ingat Allah wajib mendatangkan pertolonganNya tanpa usaha dari kita sepertimana ramai di kalangan kita fikirkan. Sesiapa yang menyelidik sejarah dengan mendalam akan memahami hal ini.

golongan yang suka jalan pintas



sesiapa sahaja yang suka mengambil jalan pintas atau jalan mudah pada setiap kehidupannya adalah orang yang melawan sunnah alam dan orang ini akan sentiasa mendapat masalah dalam hidupnya.


kita ambil jalan pintas dalam semua perkara dala hidup kita; kita belajar pada saat akhir untuk lulus peperiksaan, kita mahu memperbetulkan kesalahan seseorang dengan memarahi dan memaki hamun dia, kita mahu memerintah negara dengan cara membuat semua perkara dengan ‘cara kita’ tanpa melihat suasana semasa, kita mahu kurus dengan makan pil pelangsingan badan atau bersenam dengan cara yang mengejut, kita mahu berjaya dalam perniagaan dengan cara terus terjun dalam pelaburan tanpa mendalami ilmu perniagaan dan pelaburan, kita mengejar pahala ibadah hanya pada bulan ramadhan dan kita mahu memenangi hati masyarakat dalam keadaan kita tidak berjiwa rakyat.


teringat kata Stephen R. Covey dalam bukunya First Thing First:


‘Tangkap muat’ (ambil jalan mudah) tidak akan menjadi dalam sunnah alam. seperti sebuah ladang. itu adalah perbezaan atas di antara masyarakat dan sunnah alam. masyakarat meletakkan kayu ukurnya pada nilai sedangkan sedangkan sunnah alam kayu ukurnya adalah pada prinsip (apa yang betul). pada mulanya ‘tangkap muat’ mungkin nampak menjadi dalam masyarakat. kamu boleh pergi kepada penyelesaian mudah dan cara yang nampak berjaya. tetapi dalam jangka masa panjang, Undang-undang Ladang (yang perlu kepada proses dan masa) menguasai semua aspek kehidupan.

Golongan yang tergesa-gesa untuk menang



Fiman Allah s.wt.:


Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halya; Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya). (Al-Anbiyaa' 21:37)


Hadith Rasulullah:


Daripada Abi Abdullah Khabbab bin al Arat beliau berkata, "Kami telah mengadu kepada Baginda SAW sedang Rasulullah pada ketika itu sedang berbaring di bawah naungan Kaabah beralaskan serban. Maka kami bertanya; Apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita?"


Maka berkatalah Rasulullah SAW, "Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu ada yang ditangkap, lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian dibawa datang gergaji lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruh daging dan tulang-belulangnya, namun demikian mereka tidak memalingkan daripada agama. Demi Allah, Allah akan menyempurnakan urusan ini (agama Islam) sehinggalah permusafiran dari Sana'a ke Hadhra Maut tidak lagi ditakuti melainkan hanya kepada Allah, akan tetapi kalian adalah golongan yang gopoh." (Riwayat Bukhari)


Golongan yang gopoh bukanlah perkara yang baru dalam Islam. Penyakit ini sudah wujud di zaman Rasulullah lagi seperti mana yang disebutkan di atas.


perbincangan sunnah alam sangat berkait rapat dengan golongan yang gopoh iaitu golongan yang gopoh tidak mahu mengikut sunnah alam. Mereka rasa kerana mereka ‘bersama’ Allah, maka Allah akan menolong mereka. Tidak perlu strategi, tidak perlu usaha dan tidak perlu kesabaran.


Golongan inilah yang sebenarnya melambatkan kemenangan Islam dengan tindakan tergopoh gapah mereka. Imam Hassan al-Banna menyusun kata-kata yang sangat baik berkaitan permasalahan ini:


wahai Ikhwan Muslimin terutamanya mereka yang bersemangat dan gopoh, dengarlah kata-kata saya yang bergema dari atas pentas dalam perhimpunan agung ini. Segala langkah dan sempadan dalam jalan kamu ini telahpun digariskan. Saya tidak akan melanggari sempadan ini yang saya sendiri yakini sepenuhnya bahawa ia adalah jalan yang paling selamat untuk sampai ke matlamat. Benar, jalan ini mungkin jauh namum tiada jalan lain selain jalan ini. Kelakian akan terserlah melalui keupayaan untuk sabar, tabah, gigih dan usaha yang berterusan. sesiapa di kalangan kamu yang terlalu cepat mahu mengutip hasil sebelum tempoh matangnya atau memetik buah sebelum sampai masanya maka saya tidak akan bersetuju dengannya sama sekali. Lebih baik dia berundur dari dakwah ini kepada gerakan lain. Sesiapa yang mampu bersabar dengan saya sehingga benih tadi berkembang, tumbuh sebagai pokok, mengeluarkan buah yang baik dan tiba masa untuk memetiknya maka kesabarannya akan diberikan ganjaran oleh Allah. Kita akan memperolehi salah satu dari ganjaran berikut iaitu kemenangan dan ketuanan atau mati syahid dan kebahagiaan abadi. (himpunan risalah:243)


Semua perkara memerlukan 1.masa dan 2.proses.  Itu adalah sunnah alam yang Allah telah tetapkan. Sesiapa yang tidak sabar menerima hakikat ini akan banyak mendatangkan masalah. Itulah sebabnya sabar itu penting. Orang yang mahu mengusai sunnah alam mempunyai satu sikap yang wajib ada pada mereka iaitu sabar. Sabar ketika menahan marah, sabar dalam usaha perjuangan, sabar dengan kegagalan dan terus mencuba jika kita yakin itu jalan yang perlu ditempuh. Bahkan dalam al-Quran terdapat ratusan tempat yang Allah s.w.t menasihati kita untuk bersabar.


Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). (A-li'Imraan 3:200)


Benarlah kalau dikatakan kita tidak berjaya kerana meninggalkan al-Quran.


pengajaran dari malaysia dan mesir


contoh pengalaman malaysia

kemenangan PAS di Terengganu pada tahun 1999 adalah memeranjatkan semua orang. saya pada masa itu masih di universiti. pada awal kemenangan, banyak terdengar desas desus penyokong PAS mahu menukarkan imam-imam UMNO, pegawai kerajaan UMNO yang banyak menindas mereka semasa UMNO memerintah.


TG Haji Hadi Awang yang baru dilantik menjadi menteri besar pada masa itu membuat satu tindakan yang bijak dengan meredakan keaadaan pada masa itu dengan meminta semua penyokong PAS bersabar dan tidak terlalu gopoh. ucapannya masih segar pada pemikiran saya. ramai yang tidak faham bahawa pada masa itu internet belum menyeluruh. kemenangan PAS di Terengganu pada masa itu banyak disokong oleh isu Anwar Ibrahim dipecat dari Timbalan Perdana Menteri dan bukannya dari kesedaran rakyat tentang perlunya kepada satu kerajaan yang lebih bersih.  

contoh pengalaman mesir

saya gembira mendapat tahu berlakunya revolusi di Mesir dan regim mubarak dapat dijatuhkan. perkara yang ramai tidak sedar pada masa itu ialah walaupun regim mesir sudah dijatuhkan, cengkaman Amerika dan Israel sudah terbina sejak sekian lama.


semasa mendapat tahu banyak daerah yang dimenangi oleh Parti Kebebasan dan Keadilan yang ditubuhkan oleh Ikhwan Muslimin, saya merasakan itu satu tindakan bijak kerana akan mengurangkan tekanan terhadap Ikhwan Muslimin itu sendiri.


Apabila Ikhwan Muslimin juga mengumumkan bahawa mereka tidak akan bertanding jawatan Presiden Mesir, bagi saya itu juga satu tindakan yang bijak dan melihat kepada suasana semasa. Tetapi beberapa hari kemudian Ikhwan Muslimin bertukar arah dan mengumumkan untuk meletakkan calon presiden. pada waktu itu saya sudah mula kecewa. Walaupun saya adalah peminat setia Ikhwan Muslimin, minat saya yang sebenarnya adalah pada generasi awal Ikhwan semasa Hassan al-Banna menjadi ketuanya.


Pernah berlaku rusuhan antara kumpulan Ikhwan dan Parti Pemerintah Wafd pada masa Hassan al-Banna, beliau meminta pengikutnya mengalah walaupun mereka di pihak yang betul. Pernah Hassan al-Banna diminta tidak bertanding pilihan raya dengan janji untuk memudahkan perjalanan dakwah beliau, beliau akur dan bersetuju. Bahkan semasa semasa penangkapan dan pemenjaraan ahli Ikhwan pada tahun 1945 selepas perang Arab-Israel, Hassan al-Banna meminta ahlinya tidak mengangkat senjata bahkan Hassan al-Banna sendiri pergi berbincang dengan pihak pemerintah. Sedangkan pada masa itu banyak kumpulan-kumpulan bersenjata di Mesir yang dibenarkan oleh kerajaan kerana suasana pada masa itu. Pengikut Hassan al-Banna merayu supaya Hassan al-Banna bersembunyi kerana tahu bahaya yang akan dihadapi oleh beliau tetapi Hassan al-Banna menolak. Hassan al-Banna adalah seorang yang bijak menilai situasi semasa dan tahu akan kekuatan sebenar dakwahnya.


kembali kepada Parti Kebebasan dan Keadilan. Semasa orang ramai di Malaysia menyanjung Mursi sebagai Presiden yang bertakwa, saya masih menyebut dalam usrah yang saya tidak bersetuju dengan keputusan Parti Kebebasan dan Keadilan bertanding Presiden Mesir. Saya sayang Mursi, saya mengkagumi Mursi. tapi saya tidak mahu revolusi rakyat Mesir di’hijack’ oleh golongan yang mahu cepat menang, cepat memerintah dalam keadaan Amerika dan Israel sedang memerhati dari dekat. Perkara yang berlaku seterusnya sudah tercatat dalam sejarah berdarah Mesir.

mengapa orang kafir menguasai kita?

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendaapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. (A-li'Imraan 3:140)


ketentuan menggilirkan kemenangan dan kekalahan di antara Islam dan kafir sudah dinyatakan oleh Allah s.w.t seperti ayat di atas. Tapi apakah kaitannya penggiliran ini dengan sunnah alam? Jika kita mengkaji sejarah dunia kita pasti dapat mengetahui bahawa Allah memberikan kemenangan dan kesalahan melalui medium atau bersebab. Walaupun semuanya dalam ketentuan Allah tapi Dia memberikan jalan untuk sesuatu itu berlaku menurut sunnah alam seperti mana Allah memenangkan nabi Muhammad mengalahkan orang kafir melalui usaha dan strategi dan bukan duduk goyang kaki.


Kemenangan orang barat menguasai orang Islam bukan berlaku dengan begitu sahaja bahkan melalui usaha mereka selama beratus tahun dan disambung oleh generasi seterusnya. Kemenangan mereka dari sudut teknologi dan ekonomi datangnya dari usaha mereka mempelajari perkara baru (enquiry) semasa Perang Salib seterusnya kepada pemindahan ketamadunan semasa pemerintahan kerajaan Islam Andalus di Sepanyol, Eropah.


selepas itu masyarakat barat sudah tidak menoleh ke belakang. Beberapa revolusi dalam masyakarat seperti Renaissence dan Reformation membawa kepada pencarian ilmu, pemutusan hubungan dengan gereja yang mengongkong, pengembaraan dan penjajahan ke negara-negara di seluruh dunia yang membawa kepada perkembangan dari semua aspek di Eropah dan Amerika Utara. Semasa penulisan ini golongan yang menguasai dunia sekarang berpindah dari British kepada Amerika yang menguasai sistem ekonomi dunia, sistem komunikasi dan hiburan, kekuatan tentera terbaik dan kemajuan dari bidang teknologi. Mereka berjaya kerana orang barat menundukkan sunnah alam. orang barat tidak sombong atau lari darinya. semua ini tidak akan dapat diatasi hanya dengan berserah diri kepada Allah tanpa berusaha bersungguh-sungguh kerana Allah telah menetapkan sunnah alam untuk kita ikut dan kuasai jika kita mahu berjaya.


Kemajuan masyarakat barat tidak berlaku sekelip mata. Ianya berlaku secara perlahan-lahan beratus tahun lamanya dan disambung oleh generasi seterusnya yang tidak meruntuhkan perkara yang dibina oleh generasi sebelumnya. Ianya menurut sunnah alam yang melalui MASA dan PROSES.


kesimpulannya ialah kemenangan kita juga tidak akan berlaku sekelip mata. Ianya memerlukan usaha dan masa yang begitu lama jika kita mahu mengejar ketamadunan barat yang sudah agak jauh meninggalkan kita. Gunakan sunnah alam. Jangan berharap pertolongan Allah tanpa usaha yang serius dari kita.

Kesimpulan

Janganlah kita menjadi golongan yang mendabik dada merasakan kitalah golongan pilihan dan orang lain semua berada dalam kebatilan. Sikap ujub ini akan membawa kepada timbul perasaan bahawa Allah akan memberikan kemenangan kepada kita walau apa sekalipun tindakan kita yang bertentangan dengan sunnah alam.


Sikap takabbur ini akan membutakan mata kita dari melihat realiti dunia sebenar medan dakwah kita. Kita menjadi beku, jumud dan merasakan hanya jalan kita sahaja dikira sebagai Islam dan orang lain tidak.


Firman Allah s.w.t:


... Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri ... (Ar-Ra'd 13:11)

No comments:

Post a Comment