Friday, August 23, 2013

sikap kita terhadap sosialisme

saya tidak cuba untuk membangkitkan kembali isu KD sebab saya rasa sudah banyak ukhuwah yang terkorban dari insiden ini. saya cuma ingin bangkitkan satu isu kecil dari isu KD yang agak mengejutkan kerana tidak dibahaskan secara panjang lebar oleh sesiapapun semasa isu ini sedang hangat diperkatakan. apakah pandangan kita terhadap sosialisme?

kali pertama saya mendapat tahu penolakan PAS terhadap calon PKR di KD adalah kerana calonnya berfahaman sosialisme, saya merasa sebabnya tidak benar-benar kukuh. pada ketika itu, saya tidak tahu apa sebab hati saya tidak boleh menerima penolakan terhadap calon sosialis tapi saya tahu ianya datangnya dari kefahaman dan pembacaan saya sebelum ini. yang pastinya ianya tidak datang dari ikut-ikut cakap orang sebab pada masa itu masih belum ada pimpinan yang bersuara.

ianya berpunca dari buku yang saya selalu gunakan - risalah ta’alim karangan Hassan al-Banna. dalam usul yang ke 16 yang bermaksud:

“Uruf yang salah tidak mengubah hakikat lafaz - lafaz syariat. Malah wajib dipastikan batas - batas pengertian yang dimaksudkan daripada lafaz - lafaz itu, dan tidak melewati pengertian – pengertian yang dimaksudkan itu. Begitu juga mestilah diawasi sebarang lafaz-lafaz yang sengaja dikemukakan dengan tujuan untuk tipu helah d alam perkara yang bersangkutan dengan urusan dunia dan akhirat. Yang diambil kira adalah sesuatu yang dinamakan dan bukannya nama yang diberikan.”

saya dulu juga berfahaman agak extreme bila menyebut tentang ‘isme’ atau fahaman. saya menolak semua fahaman yang berbunyi orang putih sebab ianya nampak tidak Islam. sehinggalah saya mendalami syarah risalah ta’alim dan juga membaca himpunan risalah Hassan al-Banna. perkara yang menarik dengan pendakwah yang dikagumi dunia ini (Hassan al-Banna) ialah beliau sangat berhati-hati dalam mentafsirkan satu-satu uruf atau panggilan.

saya dahulu membenci nasionalisme kerana saya merasakan ini adalah fahaman yang terkeluar dari Islam sebab namanya tidak Islamik. sehinggalah saya membaca pandangan Hassan al-Banna dalam menghujahkan fahaman ini.

“jika nasionalisme yang dimaksudkan oleh mereka yang berbangga dengan berbangga dengan semangat nasionalisme ialah generasi mutakhir perlu menurut jejak generasi silam dalam membina hidup gemilang, dihormati, cemerlang, berkeyakinan tinggi dan menjadikan mereka sebagai contoh yang baik; jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah kegmilangan seorang bapa menjadi kebanggaan seorang anak lantaran itu menjadi pembakar semangat dan perangsang. Jika ini yang dimaksudkan, ianya adalah satu tujuan baik. Kami menyokong dan kami galakkan. (himpunan rislaah hassan al-banna: 35)

“jika apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme ialah menghidupkan kembali budaya jahiliyah yang telah pupus. … . membuang semua yang berkaitan dengan Islam semata-mata kerana semangat nasionalisme dan semangat kebangsaan sepertimana yang dilakukan oleh sesetengah negara yang agak fanatik. … . Jika inilah nasionalisme yang dimaksudkan, maka nasionalisme seperti ini tidak betul dan membawa kesan kepada yang amat buruk” (himpunan risalah hassan al-banna:37)

begitu juga apabila Hassan al-Banna berkata tentang patriotisme, Hassan al-Banna mengulang perkara yang sama “jika yang dimaksudkan”. Hassan al-Banna tidak berkata “apa sahaja yang ada dibelakangnya perkataan isme kira haram”. bila bercakap tentang uruf atau label atau panggilan Hassan al-Banna sangat berhati-hati dan akan menggunakan perkataan “JIKA YANG DIMAKSUDKAN...” . sikap yang sama juga saya ada bagi mereka yang dilabelkan wahabi, salafi, ahli tarikat, aliran demokrasi dan sebagainya. mesti diletakkan batas-batas, bagaimana yang boleh dan bagaimana yang tidak boleh. jangan semua benda haram.

formula yang sama perlu digunakan apabila memperkatakan tentang sosialisme. adakah semua perkara atas nama sosialisme haram kerana namanya bukan arab?

1. sosialisme yang ditolak sebagai fahaman kita (bukan sebagai rakan politik)

sosialisme yang ditolak sebagai fahaman kita ialah sosialisme yang tidak bertuhan, yang meletakkan dunia semata-mata sebagai paksi kehidupan

2. sosialisme yang diterima sebagai fahaman kita

sosialisme yang diterima sebagai fahaman kita fahaman yang mengutamakan rakyat dalam model ekonomi dan memgurangkan pengaruh kapitalisme. namakanlah apa sahaja fahaman ini selagi mana ianya ianya model ekonomi yang mengutamakan rakyat berbanding golongan kapitalist seperti mana konsep negara berkebajikan, maka itulah cara berfikir kita walaupun fahaman ini dinamakan metallicaisme.

jadi dalam isu KD, di mana Parti Sosialis Malaysia (PSM) berada? apa kata kita tanya PSM:

1. apa PSM kata berkaitan sosialisme?

Sosialisme adalah sistem ideologi yang mengatakan sumber kekayaan negara mesti dimiliki oleh awam daripada sektor swasta. Program PSM mengutamakan rakyat, memastikan pengagihan kekayaan dan sumber negara secara adil dan saksama. Antara perjuangan PSM ialah pendidikan untuk semua, kesihatan untuk semua dan segala kemudahan asas seperti air, letrik dan perumahan selesa untuk semua.” http://partisosialis.org/en/node/2004

2. apa PSM kata berkaitan komunisme?

Perjuangan PSM berlandaskan ideologi sosialisme dan bukannya komunisme. Fahaman komunis secara idealnya adalah satu tahap dimana kaum pekerja memiliki segala harta dan tidak ada sektor swasta.” http://partisosialis.org/en/node/2004

3. apa PSM kata berkaitan agama?

(terjemahan) “sosialisme tidak menyebarkan anti agama dan keganasan. sosialisme adalah satu-satunya fahaman dan model ekonomi yang melawan kapitalisme. Golongan Kapitalist BN tahu fakta ini, dan mereka penyebarkan fitnah terharap sosialisme untuk menutup prinsip asal sosialisme daripada rakyat” http://partisosialis.org/en/node/904

dan mungkin artikel ini juga boleh dibaca dan tidak dimasukkan di sini kerana agak panjang http://partisosialis.org/en/node/2415

Ok, PSM tidak memperjuangkan Islam, tidak anti agama dan menerima kebebasan agama. bukankah PKR dan DAP juga tidak memperjuangkan Islam, tidak anti agama dan menerima kebebasan beragama. saya sudah ada idea ini, malangnya YB khalid samad lebih cepat memaparkannya di artikel beliau:

“Lagipun telah diakui bahawa PKR dan DAP berbeza fahaman politik dengan PAS. Kalau PAS tolak Sosialis kerana bercanggah dengan Islam, bagaimana pula dengan fahaman liberal demokrat dan sosial demokrat yang dibawa PKR dan DAP? Dan bukankah ini sebabnya ada ‘tahalluf’ iaitu kerjasama dengan yang tidak sama fahaman politik dengan PAS.” http://www.khalidsamad.com/2013/06/kisah-dogeng-kota-damansara.html

jangan pula selepas ini ada orang yang minta saya masuk PSM kerana ‘membela’ PSM. tidak, saya tidak membela PSM. saya cuma mahu kita sebagai gerakan Islam bersederhana dalam tindakan kita. tahu batas bila menyebut tentang apa sahaja isu dan bukan main hentam semua benda haram. ingat kaedah fiqh “menghukum atas jasad satu-satu perkara dan bukan atas nama yang diberikan kepadanya”.

saya mengharapkan perbincangan ilmiah jika tidak bersetuju dengan pendapat saya dengan bukannya dengan berselindung dengan tuduhan-tuduhan tapi tidak memberikan hujah.