Tuesday, January 14, 2014

sunnah alam

Allah menyebut tentang sunnah alam ini di dalam al-Quran:


"Sunnatullah" (peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi; dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu. (al fath : 23)


Hassan al-Banna pernah berkata:


“Janganlah kamu melawan sunnah alam kerana sunnah alam ini begitu berkuasa. Namun kuasailah ia, gunakanlah ia, alihkanlah haluannya dan gabungkan segala elemen yang ada. selepas itu, nantikanlah detik kemenangan yang akan kamu perolehi tidak lama lagi”. (himpunan risalah: 243-244)


Ini adalah satu kuasa yang banyak diabaikan oleh kita sebagai pendakwah Islam - sunnah alam. Pendakwah Agung Imam as-Syahid Hassan al-Banna sentiasa mengulangi tentang kekuatan sunnah alam dan keperluan kita sebagai pendakwah untuk menggunakannya dengan sebaiknya dan bukannya mengabaikannya atau cuba untuk melawannya.

apa itu sunnah alam?

sunnah alam adalah sejenis undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah untuk alam ini. Undang-undang itu meliputi peredaran planet dan cuaca, hukum graviti, matematik dan fizik, hukum masa dan peralihan siang dan malam, hukum kehidupan tumbuhan dan haiwan dan hukum manusia. Hukum hidup manusia ini pula meliputi pelbagai bidang yang berkait antara satu sama lain iaitu hukum badan dan anatomi, hukum pemikiran dan ilmu, hukum perasaan, hukum roh, hukum ekonomi, hukum sosial dan antarabangsa, hukum politik dan ketenteraan, hukum teknologi ciptaan manusia dan sebagainya.


berkata Said Hawwa dalam hal ini:


“KIta orang-orang Islam juga dengan orang-orang lain, dikuasai oleh sunnah alam. cuma kita mempunyai inayat dan rahmat yang khusus dari Allah, serta bantuanNya yang khusus SEKIRANYA kita bertaqwa kepadaNya. seseorang saudara (al-akh) yang melupai sunnah alam, patutlah kita peringatkan kepadanya bahawa dia tidak boleh tidak bernafas dan tidak boleh tidak makan. Ini menunjukkan bahawa dia mesti tunduk kepada sunnah alam dan peraturannya. Dengan itu wajib kita mengetahui sunnah alam dan berusaha menundukkannya. (Syeikh Said Hawwa, Pendidikan Harakah Islamiyah: 99)


Allah telah menetapkan hukum ini sejak diciptakan alam ini dan manusia dikehendaki untuk menggunakan hukum ini yang dipanggil sebagai sunnah alam untuk kelebihan mereka. Manusia yang berjaya adalah manusia yang mengawal hukum ini dan manusia yang gagal adalah manusia yang melarikan diri atau cuba melawan hukum ini.

Perjalanan hidup para nabi adalah mengikut sunnah alam


betapa besarnya sunnah alam ini hinggakan para rasul dan nabi yang disayangi Allah juga tidak terlepas dari mengikut peraturan alam. Para nabi menyeru umatnya menggunakan medium yang boleh digunakan oleh semua manusia, para nabi berperang menggunakan senjata yang juga digunakan oleh musuhnya, mereka cedera dan terbunuh seperti mana juga manusia yang lain cedera dan terbunuh. Ini tepat dengan firman Allah:


Dan Kami tidak menjadikan Rasul-rasul itu bertubuh badan yang tidak makan minum, dan mereka pula tidak akan kekal hidup selama-lamanya (di dunia). (Al-Anbiyaa' 21:8)


Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya). (Al-Furqaan 25:20)


Kelebihan para rasul adalah mukjizat yang mengalahkan sunnah alam



Mukjizat adalah satu kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada para nabiNya untuk membantu agamaNya ketika mana yang Allah kehendaki. Mukjizat ini adalah sesuatu yang melangkaui sunnah alam dengan izin Allah s.w.t. Terlalu banyak mukjizat yang disebut oleh al-Quran dan hadith yang diberikan kepada para Rasul.


Malangnya, walau berbagai jenis mukjizat telah diberikan kepada manusia, mereka mendustakannya malah membunuh nabi-nabi mereka. Firman Allah:


Dan mereka pula bersumpah dengan nama Allah, dengan menegaskan sumpah mereka bersungguh-sungguh, bahawa sesungguhnya jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana yang mereka minta itu), tentulah mereka akan beriman kepadanya. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bahawa soal mendatangkan mukjizat-mukjizat itu hanyalah Allah yang menentukannya, dan kamu tidak menyedari (wahai orang-orang Islam), bahawa apabila mukjizat-mukjizat (yang mereka minta) itu datang, mereka juga tidak akan beriman.
(Al-An'aam 6:109)


kelebihan untuk mengatasi sunnah alam juga diberikan kepada manusia selain nabi dinamakan karomah (keramat)



kelebihan untuk mengatasi sunnah alam juga dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambaNya yang terpilih sahaja. perkara ini berlaku kepada sahabat baginda Nabi Muhammad, seperti saidina Umar yang boleh melihat perang dari jarak jauh atau Uthman bin Affan yang boleh melihat (khasyaf) tanda zina pada mata seorang pemuda.


berkata Hassan al-Banna dalam hal ini:


Mencintai orang-orang soleh, menghormati dan memberikan pujian kepada amalan-amalan baik yang mereka lakukan adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Wali-wali Allah adalah mereka yang disebut oleh Allah di dalam Al-Quran iaitu orang yang beriman dan bertaqwa. Keramat yang berlaku ke atas mereka hendaklah terjadi dengan syarat-syarat yang menepati syarak dan mempercayai bahawa mereka adalah hamba yang diredhai Allah. Mereka tidak mampu untuk memberi manfaat atau mendatangkan mudharat ketika hidup ataupun mati. Mereka juga tidak mampu memberikan kurnia yang ada pada mereka itu kepada orang lain.
(usul ke 13 risalah taalim)


Tetapi kelebihan untuk mengatasi dan menolak sunnah alam ini hanya diberikan kepada orang-orang yang terpilih sahaja dan ianya bersifat HARUS bagi Allah untuk mengurniakan keramat/pertolongan ataupun tidak kepada seseorang. Firman Allah s.w.t:


Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (A-li'Imraan 3:26)


Sejarah bukti dunia ini dikuasai sunnah alam



sesiapa sahaja yang mengkaji sejarah dunia dan bukannya sejarah Islam semata-mata pasti akan dapat mengetahui bahawa dunia ini dikuasai oleh sunnah alam dari dahulu hingga kini. Saya berikan sedikit contoh di sini:


  1. Pembunuhan masyarakat baghdad yang berjumlah jutaan orang oleh tentera monggol. Monggol cuma mampu dikalahkan kembali oleh pemerintah Mamluk di Ain Jalut, itupun tidaklah sampai menumbangkan pemerintahan Monggol. Tidakkah Allah menyayangi ulama dan orang Islam yang tidak berdosa di samping ilmu-ilmu yang hilang bersama-sama buku-buku yang dirosakkan?
  2. Penaklukan kembali Kerajaan Islam Andalus oleh tentera Sepanyol dalam operasi Reconquesta 1212-1492 - ratusan ribu jika tidak jutaan yang dibunuh, dihalau, dipaksa makan babi, dimurtadkan dan anak-anak mereka dikristiankan dan kerajaan Islam itu tidak bangkit hingga sekarang - tidakkah Allah menyayangi seluruh ummat itu yang satu negara akidah mereka tergadai?
  3. Puluhan ribu jika tidak ratusan (terdapat banyak percanggahan pendapat hatta ada yang menyatakan jutaan) penduduk asal Australia dipanggil Aboriginal dibunuh melalui peperangan atau wabak yang dihantar dan ramai yang dihalau dan anak-anak mereka dilarikan (the lost generation) ketika penaklukan british dan hingga kini tiada pembalasan untuk kekejaman ini.
  4. Jutaan penduduk Bosnia dibunuh dan puluhan ribu diperkosa tanpa sebarang pembelaan. Bahkan tentera Serbia yang melakukan pembunuhan dikurniakan negara sendiri dinamakan Republika Srpska. Tidakkah Allah menyayangi umat Islam di negara Balkan ini?


Dan pelbagai pembunuhan dan penindasan besar-besaran yang dilakukan kepada penduduk Islam dan bukan Islam di Algeria, Amerika Utara dan Selatan, Afrika, Greece, Palestin, Syiria, Iraq, Filipina, Myammar, India, Mesir, Sudan dan sebagainya oleh kuasa Emperialis yang muncul sejak dari abad ke 16 hingga sekarang bermula dari penjajahan Sepanyol, Portugis kemudian dilanjutkan oleh British, Perancis, Itali, Belanda, Rusia dan sekarang diteruskan oleh Amerika dan sekutunya di Blok Barat serta Rusia, China dan sekutunya di Blok Timur.  


Penjajahan ini sudah mencecah 500 tahun dan belum nampak tanda-tanda akan surut bahkan semakin kencang. apa yang saya ingin nyatakan di sini tidak semua kezaliman akan dibalas di dunia ini dan Allah s.w.t tidak akan menolong kita tanpa kita menolong diri kita sendiri dengan memanipulasi sunnah alam. Yang menariknya ramai di kalangan kita yang terlalu cepat termakan dengan ramalan-ramalan indah tentang kebangkitan Islam atau kedatangan hari kiamat kerana sudah tidak nampak daya upaya untuk memenangkan Islam. Kita cuma mampu berserah kepada tanda-tanda kedatangan kiamat untuk menang.


Jangan ingat Allah wajib mendatangkan pertolonganNya tanpa usaha dari kita sepertimana ramai di kalangan kita fikirkan. Sesiapa yang menyelidik sejarah dengan mendalam akan memahami hal ini.

golongan yang suka jalan pintas



sesiapa sahaja yang suka mengambil jalan pintas atau jalan mudah pada setiap kehidupannya adalah orang yang melawan sunnah alam dan orang ini akan sentiasa mendapat masalah dalam hidupnya.


kita ambil jalan pintas dalam semua perkara dala hidup kita; kita belajar pada saat akhir untuk lulus peperiksaan, kita mahu memperbetulkan kesalahan seseorang dengan memarahi dan memaki hamun dia, kita mahu memerintah negara dengan cara membuat semua perkara dengan ‘cara kita’ tanpa melihat suasana semasa, kita mahu kurus dengan makan pil pelangsingan badan atau bersenam dengan cara yang mengejut, kita mahu berjaya dalam perniagaan dengan cara terus terjun dalam pelaburan tanpa mendalami ilmu perniagaan dan pelaburan, kita mengejar pahala ibadah hanya pada bulan ramadhan dan kita mahu memenangi hati masyarakat dalam keadaan kita tidak berjiwa rakyat.


teringat kata Stephen R. Covey dalam bukunya First Thing First:


‘Tangkap muat’ (ambil jalan mudah) tidak akan menjadi dalam sunnah alam. seperti sebuah ladang. itu adalah perbezaan atas di antara masyarakat dan sunnah alam. masyakarat meletakkan kayu ukurnya pada nilai sedangkan sedangkan sunnah alam kayu ukurnya adalah pada prinsip (apa yang betul). pada mulanya ‘tangkap muat’ mungkin nampak menjadi dalam masyarakat. kamu boleh pergi kepada penyelesaian mudah dan cara yang nampak berjaya. tetapi dalam jangka masa panjang, Undang-undang Ladang (yang perlu kepada proses dan masa) menguasai semua aspek kehidupan.

Golongan yang tergesa-gesa untuk menang



Fiman Allah s.wt.:


Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halya; Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya). (Al-Anbiyaa' 21:37)


Hadith Rasulullah:


Daripada Abi Abdullah Khabbab bin al Arat beliau berkata, "Kami telah mengadu kepada Baginda SAW sedang Rasulullah pada ketika itu sedang berbaring di bawah naungan Kaabah beralaskan serban. Maka kami bertanya; Apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita?"


Maka berkatalah Rasulullah SAW, "Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu ada yang ditangkap, lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian dibawa datang gergaji lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruh daging dan tulang-belulangnya, namun demikian mereka tidak memalingkan daripada agama. Demi Allah, Allah akan menyempurnakan urusan ini (agama Islam) sehinggalah permusafiran dari Sana'a ke Hadhra Maut tidak lagi ditakuti melainkan hanya kepada Allah, akan tetapi kalian adalah golongan yang gopoh." (Riwayat Bukhari)


Golongan yang gopoh bukanlah perkara yang baru dalam Islam. Penyakit ini sudah wujud di zaman Rasulullah lagi seperti mana yang disebutkan di atas.


perbincangan sunnah alam sangat berkait rapat dengan golongan yang gopoh iaitu golongan yang gopoh tidak mahu mengikut sunnah alam. Mereka rasa kerana mereka ‘bersama’ Allah, maka Allah akan menolong mereka. Tidak perlu strategi, tidak perlu usaha dan tidak perlu kesabaran.


Golongan inilah yang sebenarnya melambatkan kemenangan Islam dengan tindakan tergopoh gapah mereka. Imam Hassan al-Banna menyusun kata-kata yang sangat baik berkaitan permasalahan ini:


wahai Ikhwan Muslimin terutamanya mereka yang bersemangat dan gopoh, dengarlah kata-kata saya yang bergema dari atas pentas dalam perhimpunan agung ini. Segala langkah dan sempadan dalam jalan kamu ini telahpun digariskan. Saya tidak akan melanggari sempadan ini yang saya sendiri yakini sepenuhnya bahawa ia adalah jalan yang paling selamat untuk sampai ke matlamat. Benar, jalan ini mungkin jauh namum tiada jalan lain selain jalan ini. Kelakian akan terserlah melalui keupayaan untuk sabar, tabah, gigih dan usaha yang berterusan. sesiapa di kalangan kamu yang terlalu cepat mahu mengutip hasil sebelum tempoh matangnya atau memetik buah sebelum sampai masanya maka saya tidak akan bersetuju dengannya sama sekali. Lebih baik dia berundur dari dakwah ini kepada gerakan lain. Sesiapa yang mampu bersabar dengan saya sehingga benih tadi berkembang, tumbuh sebagai pokok, mengeluarkan buah yang baik dan tiba masa untuk memetiknya maka kesabarannya akan diberikan ganjaran oleh Allah. Kita akan memperolehi salah satu dari ganjaran berikut iaitu kemenangan dan ketuanan atau mati syahid dan kebahagiaan abadi. (himpunan risalah:243)


Semua perkara memerlukan 1.masa dan 2.proses.  Itu adalah sunnah alam yang Allah telah tetapkan. Sesiapa yang tidak sabar menerima hakikat ini akan banyak mendatangkan masalah. Itulah sebabnya sabar itu penting. Orang yang mahu mengusai sunnah alam mempunyai satu sikap yang wajib ada pada mereka iaitu sabar. Sabar ketika menahan marah, sabar dalam usaha perjuangan, sabar dengan kegagalan dan terus mencuba jika kita yakin itu jalan yang perlu ditempuh. Bahkan dalam al-Quran terdapat ratusan tempat yang Allah s.w.t menasihati kita untuk bersabar.


Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). (A-li'Imraan 3:200)


Benarlah kalau dikatakan kita tidak berjaya kerana meninggalkan al-Quran.


pengajaran dari malaysia dan mesir


contoh pengalaman malaysia

kemenangan PAS di Terengganu pada tahun 1999 adalah memeranjatkan semua orang. saya pada masa itu masih di universiti. pada awal kemenangan, banyak terdengar desas desus penyokong PAS mahu menukarkan imam-imam UMNO, pegawai kerajaan UMNO yang banyak menindas mereka semasa UMNO memerintah.


TG Haji Hadi Awang yang baru dilantik menjadi menteri besar pada masa itu membuat satu tindakan yang bijak dengan meredakan keaadaan pada masa itu dengan meminta semua penyokong PAS bersabar dan tidak terlalu gopoh. ucapannya masih segar pada pemikiran saya. ramai yang tidak faham bahawa pada masa itu internet belum menyeluruh. kemenangan PAS di Terengganu pada masa itu banyak disokong oleh isu Anwar Ibrahim dipecat dari Timbalan Perdana Menteri dan bukannya dari kesedaran rakyat tentang perlunya kepada satu kerajaan yang lebih bersih.  

contoh pengalaman mesir

saya gembira mendapat tahu berlakunya revolusi di Mesir dan regim mubarak dapat dijatuhkan. perkara yang ramai tidak sedar pada masa itu ialah walaupun regim mesir sudah dijatuhkan, cengkaman Amerika dan Israel sudah terbina sejak sekian lama.


semasa mendapat tahu banyak daerah yang dimenangi oleh Parti Kebebasan dan Keadilan yang ditubuhkan oleh Ikhwan Muslimin, saya merasakan itu satu tindakan bijak kerana akan mengurangkan tekanan terhadap Ikhwan Muslimin itu sendiri.


Apabila Ikhwan Muslimin juga mengumumkan bahawa mereka tidak akan bertanding jawatan Presiden Mesir, bagi saya itu juga satu tindakan yang bijak dan melihat kepada suasana semasa. Tetapi beberapa hari kemudian Ikhwan Muslimin bertukar arah dan mengumumkan untuk meletakkan calon presiden. pada waktu itu saya sudah mula kecewa. Walaupun saya adalah peminat setia Ikhwan Muslimin, minat saya yang sebenarnya adalah pada generasi awal Ikhwan semasa Hassan al-Banna menjadi ketuanya.


Pernah berlaku rusuhan antara kumpulan Ikhwan dan Parti Pemerintah Wafd pada masa Hassan al-Banna, beliau meminta pengikutnya mengalah walaupun mereka di pihak yang betul. Pernah Hassan al-Banna diminta tidak bertanding pilihan raya dengan janji untuk memudahkan perjalanan dakwah beliau, beliau akur dan bersetuju. Bahkan semasa semasa penangkapan dan pemenjaraan ahli Ikhwan pada tahun 1945 selepas perang Arab-Israel, Hassan al-Banna meminta ahlinya tidak mengangkat senjata bahkan Hassan al-Banna sendiri pergi berbincang dengan pihak pemerintah. Sedangkan pada masa itu banyak kumpulan-kumpulan bersenjata di Mesir yang dibenarkan oleh kerajaan kerana suasana pada masa itu. Pengikut Hassan al-Banna merayu supaya Hassan al-Banna bersembunyi kerana tahu bahaya yang akan dihadapi oleh beliau tetapi Hassan al-Banna menolak. Hassan al-Banna adalah seorang yang bijak menilai situasi semasa dan tahu akan kekuatan sebenar dakwahnya.


kembali kepada Parti Kebebasan dan Keadilan. Semasa orang ramai di Malaysia menyanjung Mursi sebagai Presiden yang bertakwa, saya masih menyebut dalam usrah yang saya tidak bersetuju dengan keputusan Parti Kebebasan dan Keadilan bertanding Presiden Mesir. Saya sayang Mursi, saya mengkagumi Mursi. tapi saya tidak mahu revolusi rakyat Mesir di’hijack’ oleh golongan yang mahu cepat menang, cepat memerintah dalam keadaan Amerika dan Israel sedang memerhati dari dekat. Perkara yang berlaku seterusnya sudah tercatat dalam sejarah berdarah Mesir.

mengapa orang kafir menguasai kita?

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendaapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. (A-li'Imraan 3:140)


ketentuan menggilirkan kemenangan dan kekalahan di antara Islam dan kafir sudah dinyatakan oleh Allah s.w.t seperti ayat di atas. Tapi apakah kaitannya penggiliran ini dengan sunnah alam? Jika kita mengkaji sejarah dunia kita pasti dapat mengetahui bahawa Allah memberikan kemenangan dan kesalahan melalui medium atau bersebab. Walaupun semuanya dalam ketentuan Allah tapi Dia memberikan jalan untuk sesuatu itu berlaku menurut sunnah alam seperti mana Allah memenangkan nabi Muhammad mengalahkan orang kafir melalui usaha dan strategi dan bukan duduk goyang kaki.


Kemenangan orang barat menguasai orang Islam bukan berlaku dengan begitu sahaja bahkan melalui usaha mereka selama beratus tahun dan disambung oleh generasi seterusnya. Kemenangan mereka dari sudut teknologi dan ekonomi datangnya dari usaha mereka mempelajari perkara baru (enquiry) semasa Perang Salib seterusnya kepada pemindahan ketamadunan semasa pemerintahan kerajaan Islam Andalus di Sepanyol, Eropah.


selepas itu masyarakat barat sudah tidak menoleh ke belakang. Beberapa revolusi dalam masyakarat seperti Renaissence dan Reformation membawa kepada pencarian ilmu, pemutusan hubungan dengan gereja yang mengongkong, pengembaraan dan penjajahan ke negara-negara di seluruh dunia yang membawa kepada perkembangan dari semua aspek di Eropah dan Amerika Utara. Semasa penulisan ini golongan yang menguasai dunia sekarang berpindah dari British kepada Amerika yang menguasai sistem ekonomi dunia, sistem komunikasi dan hiburan, kekuatan tentera terbaik dan kemajuan dari bidang teknologi. Mereka berjaya kerana orang barat menundukkan sunnah alam. orang barat tidak sombong atau lari darinya. semua ini tidak akan dapat diatasi hanya dengan berserah diri kepada Allah tanpa berusaha bersungguh-sungguh kerana Allah telah menetapkan sunnah alam untuk kita ikut dan kuasai jika kita mahu berjaya.


Kemajuan masyarakat barat tidak berlaku sekelip mata. Ianya berlaku secara perlahan-lahan beratus tahun lamanya dan disambung oleh generasi seterusnya yang tidak meruntuhkan perkara yang dibina oleh generasi sebelumnya. Ianya menurut sunnah alam yang melalui MASA dan PROSES.


kesimpulannya ialah kemenangan kita juga tidak akan berlaku sekelip mata. Ianya memerlukan usaha dan masa yang begitu lama jika kita mahu mengejar ketamadunan barat yang sudah agak jauh meninggalkan kita. Gunakan sunnah alam. Jangan berharap pertolongan Allah tanpa usaha yang serius dari kita.

Kesimpulan

Janganlah kita menjadi golongan yang mendabik dada merasakan kitalah golongan pilihan dan orang lain semua berada dalam kebatilan. Sikap ujub ini akan membawa kepada timbul perasaan bahawa Allah akan memberikan kemenangan kepada kita walau apa sekalipun tindakan kita yang bertentangan dengan sunnah alam.


Sikap takabbur ini akan membutakan mata kita dari melihat realiti dunia sebenar medan dakwah kita. Kita menjadi beku, jumud dan merasakan hanya jalan kita sahaja dikira sebagai Islam dan orang lain tidak.


Firman Allah s.w.t:


... Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri ... (Ar-Ra'd 13:11)

Sunday, October 6, 2013

dakwah, tarbiyah dan siasah

sebenarnya sudah banyak kali saya menahan diri dari memberikan komen berkaitan slogan "dakwah, tarbiyah dan siasah" yang terdapat pada sticker, poster facebook dan ucapan-ucapan penceramah. saya fikir walaupun saya tidak bersetuju secara ilmiah slogan ini, kita sepatutnya cuba menghormati perkara baik yang orang lain lakukan. 

sehingga pada satu usrah naqib menyebut kembali slogan "dakwah, tarbiyah dan siasah" di hadapan saya menyebabkan saya tergerak untuk memberikan komen. saya memecahkan azam untuk tidak memberi komen dan menyatakan apakah pendapat saya berkaitan slogan ini. walaupun perbincangan berjalan dengan baik, saya dapat merasakan suasana tegang terhasil dari komen yang saya berikan terhadap slogan "dakwah, tarbiyah dan siasah".

bak kata pepatah, 'alang-alang mandi, biar sampai basah'. alang-alang sudah memberikan komen, biar sampai siap artikel menjelaskannya.

MENGAPA "DAKWAH, TARBIYAH DAN SIASAH" KURANG TEPAT

'dakwah, tarbiyah dan siasah' adalah satu konsep yang agak memeningkan kepala kerana konsep ini tidak sesuai untuk masuk ke kategori pembahagian gerakkerja dan tidak juga sesuai untuk masuk ke ciri-ciri kesyumulan gerakan islam. saya akan terangkan satu persatu dalam 2(DUA) isi penting:

1. Bukan kategori pembahagian gerakkerja

pembahagian gerakkerja seperti yang kita sedia maklum ialah ta'arif (pengenalan), takwin (pembentukan) dan tanfidz (perlaksanaan). untuk memahami konsep ini memerlukan penulisan yang lain bahkan saya sudah menyiapkan satu artikel yang saya sudah lampirkan di bawah artikel ini. Ringkasnya takrif, takwin dan tanfidz adalah kategori cara berkerja iaitu membuat dakwah umum, membentuk ahli dan melaksanakan gerakkerja. 

terlalu ramai pendakwah yang tersilap konsep ini dengan pembahagian keahlian. mereka yang mengangggap ta'rif, takwin dan tanfidz adalah peringkat keahlian dimana tanfidz adalah peringkat kepimpinan. ini adalah kefahaman yang salah terhadap konsep ini.  

saya tidak pernah menjumpai satupun rujukan dan penulisan terdahulu yang memperkenalkan slogan 'dakwah, tarbiyah dan politik' tapi saya merasakan bahawa sesiapa sahaja yang mencetuskan idea ini mungkin terpengaruh dengan kategori gerakkerja yang diperkenalkan oleh Hassan al-Banna dengan menukarkan ta'rif kepada dakwah (tepat), takwin kepada tarbiyah (tepat) dan tanfidz kepada politik (kurang tepat). 

mengapa saya mengatakan slogan 'dakwah, tarbiyah dan siasah' menyebabkan kesilapfahaman terhadap gerakkerja dakwah adalah kerana apabila kita menukarkan tanfidz (perlaksanaan) kepada politik, ia telah menyempitkan ruang lingkup tanfidz sedangkan melakukan gerakkerja ekonomi, kesihatan, kebajikan, pembersihan akhlak dan lain-lain lagi juga termasuk dalam maksud 'perlaksanaan/gerakkerja' (tanfidz). Kita selalu menyatakan kita ingin keluar daripada imej parti politik kepada gerakan Islam tapi nampaknya dengan slogan ini, kita mendekati imej parti politik.

kesimpulan: kalau perlu dipilih antara konsep 'ta'rif, takwin dan tafidz' dengan konsep 'dakwah, tarbiyah dan politik', saya akan memilih konsep 'ta'rif, takwin dan tanfidz' kerana konsep ini lebih menyeluruh dan merangkumi semua aspek. 

saya bersetuju jika slogan 'dakwah, tarbiyah dan siasah' ditukarkan kepada 'dakwah, tarbiyah dan gerakkerja' kerana slogan ini adalah lebih menyeluruh dan merangkumi semua aspek termasuk politik, sosial, ekonomi, akhlak dan sebagainya. tahniah kepada sesiapa yang memulakan slogan ini sebab dia sudah meringkaskan ta'rif, takwin dan tanfidz kepada perkataan yang lebih mudah untuk ditelan oleh orang ramai.   

2. bukan ciri-ciri kesyumulan gerakan islam

slogan 'dakwah, tarbiyah dan siasah/politik' juga kurang sesuai untuk dijadikan sebagai ciri-ciri kesyumulan gerakan islam kerana sudah ada ciri-ciri lain yang juga dijelaskan oleh Imam Hassan al-Banna yang lebih tepat iaitu:

1. dakwah salafiah
2. tariqat sunnah
3. hakikat sufi
4. institusi politik
5. kumpulan riadhah
6. perikatan ilmiah
7. syarikat ekonomi
8. fikrah kemasyarakatan

(Himpunan Risalah Hassan al-Banna ms 236)

jika dikaji secara mendalam kita akan mendapati betapa mendalamnya kefahaman Hassan al-Banna terhadap konsep kesyumulan gerakan Islam apabila membuat penyenaraian ini. Beliau tidak meninggalkan satu pun konsep yang penting dalam tajdid islam apabila menyenaraikan 8 ciri-ciri kesyumulan gerakan Islam. 

cuba bandingkan 'dakwah, tarbiyah dan politik' dengan 8 ciri kesyumulan gerakan Islam yang disenaraikan oleh Hassan al-Banna, yang mana satu lebih menyeluruh dan menyentuh semua aspek? Yang mana satu menggambatkan kesyumulan amal islami? itu sebab saya katakan slogan 'dakwah, tarbiyah dan politik' juga tidak sesuai untuk dikategorikan sebagai konsep kesyumulan gerakan Islam. 

jadi persoalan saya ialah slogan 'dakwah, tarbiyah dan siasah' termasuk dalam kategori apa? apakah slogan ini sebenarnya? slogan ini melengkapkan teori amal islami di bahagian mana? 


NASIHAT KEPADA ORANG YANG MENCIPTA SLOGAN "DAKWAH, TARBIYAH DAN SIASAH"

jika anda menjumpai orang yang mula-mula memperkenalkan slogan 'dakwah, tarbiyah dan siasah' sampaikan mesej ini:

terima kasih kerana mencipta satu slogan untuk diikut oleh ahli gerakan Islam. Pahala anda hanya Allah yang boleh membalasnya. walaubagaimanapun saya ingin bertanya; adakah anda memahami konsep "ta'rif (dakwah umum), takwin (pentarbiyahan ahli) dan tanfidz (gerakkerja)"? 

sebab jika anda sudah memahami konsep ta'rif, takwin dan tanfidz, anda tidak akan lagi mencipta satu slogan baru yang seakan-akan sama dengan yang diperkenalkan Hassan al-Banna. saya mengandaikan bahwa anda (pencipta slogan 'dakwah, tarbiyah dan siasah') adalah orang tersilap faham bahawa ta'rif, takwin dan tanfiz adalah peringkat keahlian yang mana ta'rif ialah ahli baru, takwin adalah ahli peringkat menengah dan tanfiz adalah kepimpinan sedangkan kefahaman ini adalah salah.

di malaysia, dari semua orang yang pernah mendengar ta'rif, takwin dan tanfiz, 90% daripada mereka salah kefahaman. saya mengandaikan anda (pencipta slogan) membuat slogan 'dakwah, tarbiyah dan siasah' kerana:

1. anda tidak tahu yang Imam Hassan al-Banna sudah membuat slogan ini di dalam bukunya Risalah Ta'alim pada rukun taat yang dinamakan "ta'rif, takwin dan tanfiz".

2. anda ingat bahawa ta'rif, takwin dan tanfiz adalah peringkat keahlian jadi anda rasa belum ada lagi orang yang mengasaskan teori gerakkerja Islam atau jenis-jenis gerakkerja.

maaf jika saya tersilap. 

KESIMPULAN

Ini bukan bermaksud saya taksub kepada Hassan al-Banna dan cuba menidakkan teori orang lain. cuma pada pemerhatian saya, tidak banyak teori amal islami baru yang boleh ditukar dengan teori amal Islam yang Hassan al-Banna tulis hampir seratus tahun dahulu. Jika adapun, Imam Hassan al-Banna sudahpun meletakkan asas tentang teori baru itu. Saya sertakan di sini kata-kata syeikh Sa'id Hawwa berkenaan teori amal Islami Hassan al-Banna:

1. "...sepatutnya mereka hendaklah mengetahui bahawa gerakkerja yang tidak berdasarkan kepada pemikiran Hassan al-Banna adalah tidak mencukupi, kabur dan mustahil sekiranya kita menginginkan suatu amalan yang sempurna dalam khidmat kita terhadap Islam dan kaum muslimin" (pendidikan harakah Islamiyah, said hawwa :ms 1)

2. "walaubagaimanapun kita perlu beringat bahawa ianya bukan bermakna ustaz Hassan al-Banna tidak salah. ... Ia juga tidak bermakna kita tidak perlu mengambil kira faktor masa dan tempat. Memang boleh seseorang itu mengkritik apa yang dicipta oleh Hassan al-Banna dan jamaah juga boleh untuk tidak mengikut cara Hassan al-Banna. Jadi pengkajian yang MENDALAM serta kepercayaan yang mutlak, berserta pula dengan resolusi jamaah dengan pengasasnya yang BIJAKSANA, hanya dengan itu sahajalah satu-satunya cara yang boleh mengubah teori yang dikemukakan oleh ustaz Hassan al-Banna" (pendidikan harakah islamiyah, said hawwa:ms 10)

3. "Jelasnya ustaz Hassan al-Banna adalah pengasa teori amal islami. Dialah yang telah mengemukakan suatu pemikiran yang boleh dipegang dan boleh dilaksanakan. Teori yang boleh membawa seseorang muslim dari permulaan sehingga kesudahan. ... Mana-mana pemikiran kini tidak dapat membebaskan diri dari pemikiran ustaz hassan al-Banna. oleh itu pemikiran Hassan al-Banna adalah pemikiran yang menyeluruh yang merangkumi semua keperluan kita" (pendidikan harakah islamiyah, said hawwa: ms11)

saudara mungkin merasakan kita terlalu sibuk berteori tetapi kefahaman adalah penting. kefahaman yang betul akan menghasilkan kerja yang betul dan kefahaman yang salah membawa kepada cara berkerja yang salah.  kefahaman yang syumul akan menghasilkan gerakkerja yang syumul dan begitu juga sebaliknya.Itu sebabnya dalam rukun baiah, rukun FAHAM berada di permulaan. kalau gerakkerja kita menghabiskan banyak tenaga dan masa tapi pencapaian tidak ke mana, semak kembali teori kita. 

saudara boleh terus menggunakan slogan ini (dakwah, tarbiyah dan siasah), ia bukan satu kesalahan. cuma Hassan al-Banna guna perkataan tanfiz (gerakkerja/perlaksanaan), kita pergi guna perkataan politik. politik itu sempit sedangkan tanfiz (gerakkerja) itu luas yang merangkumi politik, ekonomi, sosial, keilmuan, kesihatan dan pelbagai bidang lain. bila lagi kita mahu keluar dari imej parti politik kepada organisasi Islam yang menyeluruh? 

satu teori yang betul dan kukuh adalah teori yang tahan hujah. Maknanya walaupun dihujani pelbagai hujah yang berbeza, ia masih berdiri kukuh seperti mana konsep takrif, takwin dan tanfidz, rukun baiah, peringkat amal, usul isyrin yang mana konsep-konsep ini hampir kalis peredaran zaman. Lihat sahaja pembahagian feqah yang diasaskan imam abu hanifah, pembahagian maqasid syariah yang diasaskan asy-syatibi, ilmu usul fiqh yang diperkenalkan oleh Imam Syafie, semuanya kalis teori yang berbeza dan peredahan masa kerana teorinya tepat.

TAMAT

Thursday, September 5, 2013

akhlak terhadap isme

PENDAHULUAN


penulisan ini datangnya dari rasa bimbang saya terhadap sahabat-sabahat seperjuangan yang melabel orang lain dengan label Islam Liberal, Islam Sosialis, Islam Demorat dan lain-lain secara membabi buta tanpa tahu dengan mendalam apa yang mereka labelkan. penulisan ini adalah himpunan penulisan saya secara berkala dalam sebuah kumpulan perbincangan whatsapp walaupun terdapat penambahan dan pengurangan di beberapa tempat.


JANGAN MUDAH MELETAKKAN HUKUM


liberalisme tidak boleh dihukum secara pukal. ianya mestilah difahami mengikut konteks perbincangan.  liberal maksudnya bebas.  islam membebaskan manusia. hukum berdasarkan konteks bukan istilah. ingat kaedah menghukum atas perkara bukan atas nama yg diberikan.


islam tidak pernah mengharamkan logik/idea manusia. disertakan di sini sikap Hassan al-Banna terhadap isme.


“jika nasionalisme yang dimaksudkan oleh mereka yang berbangga dengan berbangga dengan semangat nasionalisme ialah generasi mutakhir perlu menurut jejak generasi silam dalam membina hidup gemilang, dihormati, cemerlang, berkeyakinan tinggi dan menjadikan mereka sebagai contoh yang baik; jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah kegEmilangan seorang bapa menjadi kebanggaan seorang anak lantaran itu menjadi pembakar semangat dan perangsang. Jika ini yang dimaksudkan, ianya adalah satu tujuan baik. Kami menyokong dan kami galakkan. (himpunan rislaah hassan al-banna: 35)


atau


“jika yang dimaksudkan dengan patriotisme ialah menakluk negara lain dan menguasai bumi ini, ia adalah satu kewajipan oleh Islam. .. jika patriotisme yang mereka maksudkan ialah memecahbelahkan ummah ini kepada beberapa puak bertelagah, (dan banyak lagi) …. patriotisme seperti ini adalah karut dan tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan kepada pendokong dan juga orang ramai” (himpunan risalah Hassan al-Banna:33)


itu maksudnya melihat kepada konteks bukan kontent.


kita tidak boleh mengkafirkan orang yg dilabel islam demokrat kalau dlm masa yang sama pemilihan dlm PAS guna sistem demokrasi dan bukan syura.


isme tidak haram secara total. mesti didetailkan dulu apa yg haramnya. mengapa ia haram? nama bukan arab tidak haram.


JANGAN MENGHUKUM PADA NAMA


saya mahu menjelaskan usul ke 16 dari rukun faham risalah taklim hassan al-banna:


Uruf (sebutan/label) yang salah tidak mengubah hakikat lafaz - lafaz syariat. Malah wajib dipastikan batas - batas pengertian yang dimaksudkan daripada lafaz - lafaz itu, dan tidak melewati pengertian – pengertian yang dimaksudkan itu. Begitu juga mestilah diawasi sebarang lafaz lafaz yang sengaja dikemukakan dengan tujuan untuk tipu helah dalam perkara yang bersangkutan dengan urusan dunia dan akhirat. Yang diambil kira adalah sesuatu yang dinamakan dan bukannya nama yang diberikan.”


baca yang terakhir “ Yang diambil kira adalah sesuatu yang dinamakan dan bukannya nama yang diberikan”. itu sebabnya dalam syarah risalah taklim oleh muhammad abdullah al-khatib dia menyebut:


"sesungguhnya kita telah diajar bahawa NAMA YANG BURUK ITU TIDAK MEMUDHARATKAN KEBENARAN YANG BETUL sedangkan nama yang cantik tidak mungkin mengharuskan kebatilan yang berpenyakit. dalam hal ini al imam as syafie telah berkata dengan katanya yang bermaksud "jika sekiranya (maksud) Rafidhah itu ialah mencintai keluarga Muhammad salallahu alaihi wasallam, maka saksikanlah wahai jin dan manusia bahawa saya adalah Rafidhah" (pandangan semula kepada risalah ta'alim: muhammad abdullah al-khatib:164 semasa mensyarahkan usul ke 16)


maka bukan fikrah islam mengharamkan apa sahaja hanya kerana namanya bukan arab atau kerana idea itu tidak datang dari orang islam


LIHAT PADA KONTEKS DAN BUKANNYA KONTEN


setiap perkataan mesti dilihat pada context dan bukan content. content adalah apa yang dilabelkan dan context adalah penjelasan sebenar pada apa yang dilabel.


jika seseorang itu menyebut tentang liberalisme yang bermaksud kebebasan, kita mesti fahami apakah context pada maksud liberalisme/kebebasan di sini.


jika liberalisme itu bermaksud kebebasan tanpa batas, undang-undang yang menghalalkan apa sahaja dengan mengetepikan syariat dan tidak kena pada kaedah usul, maka liberalisme seperti ini adalah HARAM.


tapi jika seseorang itu menyebut perkataan liberalisme/kebebasan tetapi maksudnya ialah islam itu memberikan kebebasan kepada umat islam dari segi perhambaan sesama manusia, kebebasan dari undang-undang lapuk dan jumud, kebebasan dari adat yang menggongkong, maka liberalisme dalam konteks ini adalah HALAL.


jadi jangan fobia bila ada orang sebut liberalisme, fahami konteks terlebih dahulu, dalami maksudnya terlebih dahulu, jangan terus bagi hukum.


sebab perkataan liberal/bebas bersifat harus sehingga ada sesuatu yang mengharamkannya. ikut kaedah usul “asal sesuatu itu adalah harus”.


PENJELASAN TENTANG LIBERALISME


setelah kita faham bahawa perkataan liberal (bebas atau toleransi atau terbuka : http://dictionary.reference.com/browse/liberal ) adalah bersifat harus selagi tiada perkara yang mengharamkannya, cuba kita tanya diri kita apakah hukumnya orang yang dilabelkan liberal?


adakah setiap orang yang dituduh liberal itu kafir? jika ya, soalan yang seterusnya ialah adalah dia kafir kerana dia dituduh liberal atau perkara yang dia lakukan yang menyebabkan dia dituduh liberal?


jika dia kafir (terkeluar dari Islam) kerana perkara yang dia lakukan, maka kita mestilah mendalami apakah perkara yang dia lakukan yang menyebabkan dia dituduh kafir. mesti ada dalil, mesti ada rujukan kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh seseorang itu kafir hanya kerana berbeza pendapat.


maka ada yang akan berkata “oohh, dia memang liberal tapi dia tidak kafir”. soalan saya ialah apakah hukum atas label itu? fasik? mengapa? atas sebab apa? apa rujukannya? adakah melabel menjadi cara baru untuk menggantikan hujah?


disebabkan saya mahu habiskan perbincangan liberalisme (bebas / terbuka / toleransi) pada penulisan ini, saya perlu sentuh tentang perubahan PAS dalam dunia global atau lebih tepat selepas tahun 2008.


  1. PAS mengamalkan liberalisme (bebas / terbuka / toleransi) apabila menubuhkan Dewan Penyokong PAS.
  2. PAS mengamalkan liberalisme (bebas / terbuka / toleransi) apabila mula menggunakan perkataan negara berkebajikan berbanding negara Islam sebelum 2008
  3. PAS mengamalkan liberalisme (bebas / terbuka / toleransi) apabila bersetuju dalam mesyuarat Pakatan Rakyat bahawa hudud bukan agenda PR.


PAS sudah banyak melakukan liberalisme (bebas / terbuka / toleransi) yang tidak dapat disenaraikan di sini tapi adakah liberalisme (keterbukaan) ini salah? TIDAK. bahkan PAS sudah mengambil langkah yang sangat bijak sebagai sebuah gerakan Islam masa depan.


saya akan menyentuh topik selain liberalisme selepas ini
APA ITU ISME?


perbincangan ini sepatutnya lebih awal dari perbincangan yang lain - apa itu ‘isme’?


apabila kita menyebut ‘isme’, kita menggambarkan seorang mat saleh duduk dibiliknya bersama buku tebal dan memikirkan tentang ideologi baru yang hendak diciptanya seperti seorang saintis sedang mencipta sesuatu dalam bilik makmal. ini kefahaman yang kurang tepat.


‘isme’ boleh dibahagikan kepada 2 jenis penggunaan.


PERTAMA: ‘isme’ menggambarkan pengenalan satu ideologi baru oleh seorang tokoh yang berpengaruh contohnya komunisme (‘common (umum) - isme’ atau kesamarataan atau Marxisme oleh Karl Marx, atau Kapitalisme (capital (modal) - isme) oleh Adam Smith. disebabkan ianya mengambil perkataan harian seperti common dan capital, maka kita ada masanya masih perlu memahami konteks label ini apabila label ini disebut.


KEDUA: ‘isme’ membawa maksud kata nama / noun dan bukannya ideologi. kalau dalam bahasa melayu biasanya perkataan itu bermula dengan PER/KE dan berakhir dengan AN. bila disebut liberalisme, ia bermaksud KEterbukaAN dan tidak pernah ada tokoh yang mencipta perkataan ini. ini ayat penggunaan harian. bila disebut sosialisme (asal perkataan sosial/masyarakat), ia bermaksud KEmasyarakatAN, tidak ada tokoh barat yang mencipta perkataan sosialisme seperti mana tidak ada orang melayu mencipta perkataan kemasyarakatan.


apabila disebut federalisme (asal perkataan federal atau sekutu) - ini bukan ideologi yang dicipta tokoh barat yang hidung besar walaupun ada perkataan ‘isme’. ini adakah kata nama / noun yang bermaksud persekutuan.  


saya boleh teruskan lagi memberi contoh tapi rasa penat menaip banyak-banyak bila semua orang dah faham.


saya adalah seorang kapitalist (pemodal) sebab banyak modal yang saya laburkan dalam hartanah dan perniagaan dan saya adalah seorang yang liberal (terbuka) dalam berbeza pendapat.


tapi disebabkan oleh bahasa ibunda kita bukan inggeris, bila kita dengar perkataan liberalisme (keterbukaan), sosialisme (kemasyarakatan), kapitalisme (permodalan), federalisme (persekutuan), nasionalisme (kebangsaan), patriotisme (kenegaraan), kita dah start fobia dan rasa perkataan itu terkeluar dari Islam. masalahnya orang yang beritahu kita ini haram, itu haram selama ini tidak berapa pandai bahasa inggeris.


jadi nasihat saya, perhatikan konteksnya dahulu. ‘isme’ ni ada yang betul dan ada yang salah. tidak semua betul dan tidak semua salah.


MENJAWAB HUJAH “BUKANKAH ISLAM ITU SUDAH SYUMUL?”


Ada satu persoalan yang belum dijawab iaitu “bukankah islam itu sudah syumul? mengapa kita perlu lagi isme atau idea luar?”. soalan ini pernah ditanya di group facebook lain tetapi saya tidak menjawabnya sebab saya fikir semua orang tahu jawapannya. tapi apabila sekali lagi soalan itu ditimbulkan apabila membahaskan ‘isme’,  saya mula terfikir bahawa apa yang dikira persoalan mudah atau biasa bagi kita tidak semestinya difikirkan mudah atau biasa oleh orang lain.


Ya, islam adalah agama yang syumul. bermaksud ajaran Islam merangkumi semua aspek kehidupan. saya yakin tak perlu disertakan dalil untuk kenyataan ini.


Tapi syumul di sini tidak membawa maksud statik. syumul di sini tidak bermaksud haram menggunakan idea orang lain yang tidak bercanggah dengan nas walau dari mana atau siapa sekalipun sumbernya. selagi ia perkara yang betul maka tidak kiralah dari mana atau siapa yang menyatakannya.


saya senaraikan di sini beberapa dalil menunjukkan bahawa Islam menggalakkan pencarian apa sahaja sumber untuk melengkapkan hidup kita:


1. “Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)


JIKA SYUMUL ITU BERMAKSUD AL-QURAN DAN HADITH SUDAH LENGKAP, SUDAH MENJAWAB SEMUA PERSOALAN DAN TIDAK MEMERLUKAN SUMBER LAIN,  mengapa Allah menyuruh kita bertanyakan orang lain sesuatu yang kita tidak tahu?


2. Telah menceritakan kepada kami Abu Bakr bin Abu Syaibah dan ‘Amru An Naqid seluruhnya dari Al Aswad bin ‘Amir; Abu Bakr berkata; Telah menceritakan kepada kami Aswad bin ‘Amir; Telah menceritakan kepada kami Hammad bin Salamah dari Hisyam bin ‘Urwah dari Bapaknya dari ‘Aisyah dan dari Tsabit dari Anas bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah melewati suatu kaum yang sedang mengawinkan pohon kurma lalu beliau bersabda: “Sekiranya mereka tidak melakukannya, kurma itu akan (tetap) baik”.  Tapi setelah itu, ternyata kurma tersebut tumbuh dalam keadaan rosak. Hingga suatu saat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam melewati mereka lagi dan melihat hal itu beliau bertanya: ‘Ada apa dengan pohon kurma kalian? Mereka menjawab; Bukankah anda telah mengatakan hal ini dan hal itu?  Beliau lalu bersabda: ‘Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian’ (HR Muslim 4358)


JIKA SYUMUL ITU BERMAKSUD AL-QURAN DAN HADITH SUDAH LENGKAP, SUDAH MENJAWAB SEMUA PERSOALAN DAN TIDAK MEMERLUKAN SUMBER LAIN, mengapa rasulullah memberitahu yang kita lebih mengetahui urusan dunia kita.


3. Al-Hikmah (ilmu) adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya. (Riwayat Tirmizi)


JIKA SYUMUL ITU BERMAKSUD AL-QURAN DAN HADITH SUDAH LENGKAP, SUDAH MENJAWAB SEMUA PERSOALAN DAN TIDAK MEMERLUKAN SUMBER LAIN, mengapa kita perlu mengambil ilmu yang kita jumpai sedangkan Islam sudah lengkap? mengapa hadith ini tidak menyebut hanya hikmah (ilmu) yang dijumpai dari orang Islam sahaja.


4. usul ke 18 risalah taklim Hassan al-Banna “Islam membebaskan akal, menggalakkan supaya memerhatikan alam semesta. Mengangkat kedudukan ilmu dan ulama’. Mengalu - alukan sesuatu yang baik dan bermanfaat . Al-hikmat adalah barang yang hilang dari orang mukmin, di mana sahaja didapati dialah orang yang paling berhak terhadapnya.”


JIKA SYUMUL ITU BERMAKSUD AL-QURAN DAN HADITH SUDAH LENGKAP, SUDAH MENJAWAB SEMUA PERSOALAN DAN TIDAK MEMERLUKAN SUMBER LAIN, mengapa Islam membebaskan akal? mengapa Islam mengalu-alukan sesuatu yang baik dan bermanfaat? bukankah Islam sudah cukup?
Kesimpulan:


Islam itu syumul tetapi tidak jumud dan tidak egoistik. Islam membebaskan akal untuk menerima apa sahaja yang bermanfaat tidak kira dari mana, walau apa pun namanya, walau apa pun sejarahnya dan dari siapa pun ilmu itu datang.


Islam itu berdasarkan dalil dan ilmu dan bukan berdasarkan cita rasa kita sendiri. hanya kerana kita kurang selesa dengan satu-satu perkara, keselesaan anda tidak menjadi hukum kepada perkara itu.


satu -satu hukum itu mestilah difahami melalui al-Quran dan Sunnah, Ijma, qias dan beberapa kaedah usul fiqh yang lain. Ianya tidak berdasarkan sentimen dan kebiasaan kita.  


TIDAK MENGGUNAKAN NAMA ISLAM DALAM POLITIK, EKONOMI DAN SOSIAL TIDAK MENJADIKAN KITA KAFIR


Jika hukum itu tidak terletak pada nama [liberalisme (keterbukaan), demokrasi (pemerintahan rakyat), sosialisme (sistem ekonomi menentang kapitalis) dll] secara literal, bolehkah saya berjuang dengan slogan-slogan ini?


satu perkara penting yang perlu difahami apabila menjawab soalan ini ialah TIDAK WAJIB MENGGUNAKAN NAMA ISLAM DALAM SEMUA PERKARA DALAM KEHIDUPAN SAMA ADA POLITIK, EKONOMI, SOSIAL DAN SEBAGAINYA.


hanya kerana kita suka menggunakan nama Islam dalam semua perkara, itu tidak boleh dijadikan hukum untuk mewajibkan orang lain membuat perkara yang sama. sesiapa yang tidak menggunakan nama Islam atau arab dalam bidang politik, ekonomi dan sosial tidak menjadi kafir.


pengenalan Negara Berkebajikan oleh Tuan Guru Presiden PAS antara sebabnya ialah perkataan Negara Islam tidak terdapat dalam al-Quran atau hadith. Ia adalah satu perkataan yang diperkenalkan selepas itu. berjuang atas slogan Negara Berkebajikan tidak bermaksud menolak Islam.


sahabat IKRAM kita dahulu dari JIM - Jamaah Islah (bukan Islam) Malaysia atau kalau ditafsirkan ialah Pertubuhan Pembaikan Malaysia. tidak ada perkataan Islam di sini. JIM tidak menggunakan nama “Islam” tidak bermaksud mereka terkeluar dari Islam.


rakan-rakan IKRAM kita banyak dalam PKR (parti keadilan rakyat) yang tidak menggunakan nama Islam. bahkan mereka sebuah parti liberal (terbuka). tidak menggunakan perkataan Islam sebagai slogan mereka dalam perjuangan politik tidak mengeluarkan mereka dari Islam.


Kesimpulan:


walaupun tidak menggunakan nama Islam adalah harus (tidak kafir atau fasik), menggunakan slogan yang ada perkataan “Islam” dalam bidang politik, ekonomi dan sosial adalah bagus.


PENJELASAN TENTANG DEMOKRASI


bolehkah memperjuangkan demokrasi? saya rasa ini soalan mudah tapi masih perlu dijawab.


demokrasi asal dari perkataan greek - demokratia. demo bermaksuk rakyat. kratios bermaksud kuasa. demokrasi bermaksud kuasa rakyat atau pemerintahan rakyat.


1. adakah demokrasi itu haram kerana namanya bukan dari perkataan arab? tidak.
2. adakah demokrasi salah dari sisi Islam sebab konsepnya datang dari Athens, Greek? tidak.
3. adakah demokrasi salah di sisi Islam kerana konsepnya diperkenalkan oleh orang eropah? tidak. jadi kita jelas sekarang bahawa HUKUM ITU TIDAK TERLETAK PADA NAMA, ASAL DAN JUGA ORANG YANG MEMPERKENALKANNYA.


Saidina Ali KW pula pernah berkata : “Ilmu adalah barang hilang dari mukmin, ambillah ia walau dari si musyrik “ Riwayat Ibn Abd Barr, Jami’ Bayan al-Ilm , 1/121


bahkan dalam Islam terdapat hadith yang menyokong konsep demokrasi:


“Sesungguhnya umatku tidak akan bersepakat pada kesesatan. Oleh karena itu, apabila kamu melihat terjadi perselisihan maka ikutilah kelompok yang ramai (as-sawad al a’zham).”
(HR. Ibnu Majah, Abdullah bin Hamid, at Tabrani, al Lalika’i, Abu Nu’aim. Menurut Al Hafidz As Suyuthi dalam Jamius Shoghir, ini adalah hadits Shohih)


Demokrasi yang Haram ialah suara orang ramai yang terkeluar dari syariat Islam. Demokrasi yang Halal ialah pendapat ramai yang tidak terkeluar dari syariat Islam.


Hukum kepada orang yang dilabel Islam Demokrat


hukum kepada orang yang dilabel Islam demokrat adalah harus dan tidak menjadi kafir atau fasik kerana Islam demokrat bermaksud seseorang yang mengikut demokrasi yang berlandaskan Islam. bagaimana mungkin kita boleh fobia dengan perkataan Islam Demokrat kalau PAS sendiri menjalankan pemilihan pemimpinnya dengan sistem demokrasi (suara orang ramai) dan bukannya sistem pemilihan syura?


orang yang dilabel Islam Demokrat cuma akan jatuh kafir jika dia meyakini pendapat majoriti adalah lebih tinggi dari syariat Islam. Jika benar, mestilah disertakan dengan bukti, rujukan dan mestilah tiada sebarang khilaf di situ. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh seseorang itu kafir hanya kerana ada orang lain melabelnya Islam Demokrat.


Hassan al-Banna berkata dalam Risalah Taalim usul ke 20:


“Kita tidak mengkafirkan seorang muslim yang telah mengucap dua kalimah syahadah, melaksanakan tuntutan-tuntutannya dan menunaikan kewajipan–kewajipannya dengan hanya berdasarkan kepada pendapat atau maksiat yang dilakukan nya melainkan jika beliau :


1.mengakui kalimah kufur
2.mengingkari perkara agama yang diketahui secara dharuri
3.mendustakan ayat al-Quran yang jelas pengertiannya.
4.menafsir al-Quran dengan penafsiran yang tidak diterima oleh uslub bahasa arab dalam semua keadaan.
5.melakukan sesuatu yang tidak boleh ditafsirkan selain daripada kufur.


PENJELASAN TENTANG SOSIALISME


antara topik terakhir yang saya ingin sentuh ialah sosialisme (kemasyarakatan) dan kalau mengikut konteks yang lebih tepat sistem ekonomi masyarakat.


disebabkan oleh sosialisme (kemasyarakatan) menerima pandangan yang lebih negatif berbanding perkataan lain seperti liberalisme (keterbukaan), demokrasi (pemerintahan rakyat) dan bermacam lagi, saya terpaksa memberikan penjelasan yang lebih panjang lebar tentang sosialisme berbanding perkataan-perkataan lain. Ia mungkin memerlukan penulisan yang panjang.


bila kita berbicara sebagai sebuah gerakan Islam, ingin saya peringatkan sekali lagi supaya tidak timbul fitnah bahawa sebarang pandangan positif saya tentang sosialisme tidak bermaksud kita perlu menukar nama parti Islam kepada parti sosialis dan ceramah kita bertukar kepada ceramah tentang sosialisme, bukan itu maksud saya.


bila saya memberikan sebarang pandangan positif tentang sosialisme, itu bermaksud kita sebagai sebuah gerakan Islam mestilah memberikan pandangan yang adil terhadap orang lain. pandangan kita mestilah berdasarkan fakta dan kaedah yang betul dan bukannya pandangan yang berdasarkan emosi, pandangan yang mengikut cakap-cakap orang lain dan pandangan yang cuma untuk mengharamkan semua benda yang tidak bernama arab. sebagai pendakwah, kita mestilah berhati-hati semasa memberikan pandangan jangan sampai terkeluar dari batas-batas akhlak yang diajar oleh Islam.


APA ITU SOSIALISME?


secara literal, sosialisme berasal dari perkataan sosial yang bermaksud masyarakat. sosialisme secara literal bermaksud kemasyakaratan.


tetapi pada konteks perbincangan sebenar, sosialisme bermaksud sistem ekonomi yang mengutamakan rakyat. untuk lebih tepat saya copy pastekan di sini definasi sosialisme dari wikipedia dan terjemahkannya:


Socialism is an economic system characterised by social ownership of the means of production and co-operative management of the economy.[1] "Social ownership" may refer to cooperative enterprises, common ownership, state ownership, citizen ownership of equity, or any combination of these.[2] There are many varieties of socialism and there is no single definition encapsulating all of them.[3] They differ in the type of social ownership they advocate, the degree to which they rely on markets or planning, how management is to be organised within productive institutions, and the role of the state in constructing socialism.[4] (http://en.wikipedia.org/wiki/Socialism)


terjemahan:


sosialisma adalah sistem ekonomi yang berteraskan milikan masyakarat pada penghasilan besar-besaran dan pengurusan ekonomi secara berkerjasama. “milikan masyarakat” boleh membawa makna kerjasama perniagaan, milikan umum, milik negara, harta milik rakyat atau mana-mana gabungan ini. TERDAPAT BANYAK JENIS SOSIALISME DAN TIDAK ADA SEBARANG PENJELASAN YANG BOLEH MENJELASKAN SEGALANYA (maknanya mesti ikut konteks). ianya BERBEZA pada jenis harta rakyat yang mereka cakapkan, tahap pasaran atau perancangan yang mereka ikut, bagaimana pengurusan dijalankan pada institusi yang melakukan penghasilan dan apa tugas negara dalam mengikut sosialisme.



HARAM LIZATIHI DAN HARAM LIGHAIRIHI


APA ITU HARAM LIZATIHI (haram perkara itu) DAN HARAM LIGHAIRIHI (haram sebab yang lain dari perkara itu)


bila kita berbincang tentang ilmu usul fiqh, kita akan berbincang tentang haram lizatihi dan haram lighairihi.


contoh haram lizatihi (haram kerana zatnya) ialah babi. Allah s.w.t sudah sebut perkataan khinzir/babi dalam al-Quran. tukarlah namanya apa sekalipun kalau binatang itu babi, haram bagi kita memakannya. sama seperti perkataan kristian/nasara. kita tidak boleh kata perkataan kristian OK sebab sudah tetap dalam al-Quran dah sebut perkataan nasara/kristian. siapa yang kata perkataan nasara/kristian OK masuk neraka.


contoh haram lighairihi (haram atas sebab yang lain) ialah bersetubuh. bersetubuh itu tidak haram, yang haramnya ialah bersetubuh dengan wanita asing. perkataan sekularisme itu tidak haram sebab perkataan sekularisme (asal dari bahasa sanskrit sekulum yang bermaksud dunia), yang haramnya ialah apabila konteks sekularisme di sini bermaksud meninggikan kehidupan dunia berbanding perintah Allah.


jadi apabila ada ulama atau ustaz yang beritahu atau tulis dalam buku kata sekularisme haram, sosialisme haram, liberalisme haram - BETUL, MEMANG BETUL. haram di sini ialah haram lighairihi (haram atas sebab lain) dan bukan haram lizatihi (haram sebab namanya).


kalau ada ustaz dalam bukunya menulis membunuh itu haram, kita kena faham konteks membunuh itu. maksud ustaz itu ialah membunuh jiwa yang tidak berdosa itu haram. membunuh dalam peperangan adalah halal walaupun ustaz itu tidak sebut dalam bukunya. jadi saya nak mintak sangat bila baca buku, jangan ambil secara literal, fahami konteksnya.


bila ada ustaz atau ulama tulis dalam bukunya sosialisme itu haram, haram di sini ialah haram lighairihi (atas sebab sosialisme yang mazhabnya tidak percayakan tuhan) dan bukannya haram lizatihi (haram sebab nama sosialisme - kemasyarakatan, atau sebab takrif sosialisme - sistem ekonomi yang mementingkan rakyat)


itu maksud Imam Hassan al-Banna dalam usul ke 16 “wajib dipastikan batas - batas pengertian yang dimaksudkan daripada lafaz - lafaz itu, dan tidak melewati pengertian – pengertian yang dimaksudkan itu”


saya tahu ramai yang susah nak telan apa yang saya beritahu ini. saya terbuka untuk sebarang perbincangan.

JENIS-JENIS SOSIALISME


melihat kepada definisi yang diberikan sebelum ini, sosialisme ialah satu SISTEM EKONOMI MILIK RAKYAT. jadi apabila orang menyebut atau melabel sosialisme, mesti ditanya sosialisme yang bagaimanakah yang dimaksudkan oleh dia?


1.SOSIALIST DEMOKRAT. mereka ialah sosialist (ekonomi rakyat) yang menolak kuasa politik tertumpu kepada satu parti atau golongan tertentu dan berjalan dalam sistem demokrasi. polisi mereka melibatkan negara berkebajikan dan sangat menyokong perkhidmatan awam dan kebajikan masyarakat. Mereka pada dasarnya menentang monopoli korporat terhadap ekonomi. jenis sosialist ini banyak terdapat di UK, Perancis, Australia, Italy, Norway, Finland dan banyak lagi. Antara contohnya ialah Labour Party dari Britain.  


2. REVOLUSINARI SOSIALIST. mereka yang berjuang untuk mendapatkan kuasa melalui revolusi atau perang. Bermula di Russia era Lenin.


3. SOSIALIST MARXISME ATAU KOMUNISME - jenis sosialisme yang yakin sistem ekonomi perlu dikawal dan menghapuskan semua milikan individu supaya sistem ekonomi dan harta hanya dimiliki oleh negara. Ada di negara-negara komunis.


4. MARKET SOSIALISME - jenis sistem ekonomi yang masih lagi berpegang kepada milikan awam atau milikan masyakat tapi beroperasi dalam ekonomi market (penghasilan dan permintaan). Jenis ekonomi yang biasanya diamalkan di China.


5. ANARKIS SOSIALIST / UTOPIAN SOSIALIST - jenis sosialisme yang tidak mempercayai bahawa negara perlu memainkan peranan dalam menguruskan harta.


6. LIBERTARIAN SOSIALIST - jenis sosialisme yang menyatakan bahawa masyakarat tidak memerlukan birokrasi dan tiada harta milikan persendirian.


sekali lagi diulang, sosialisme adalah satu perkataan umum (loose definition) yang bermaksud sistem ekonomi milik rakyat. ia mungkin sosialisme yang extreme seperti komunisme, ia mungkin pertengahan seperti libertarian sosialisme dan ia mungkin sosialisme yang mendekati kapitalisme dalam menghormati hak milik individu seperti demokratik sosialisme. jadi bila ada orang melabel kita Islam sosialis, kita mesti tanya dia lebih mendalam sosialis jenis yang mana satu yang dia maksudkan?

ISME TULEN atau ISME IDEAL


sedikit menyentuh berkaitan isme tulen / isme ideal. Isme tulen membawa maksud satu-satu isme itu betul-betul melakukannya apa yang dimaksudkannya.


1. SISTEM KAPITALISME TULEN: sesebuah negara itu yang melaksanakan polisi kapitalisme secara 100% iaitu membiarkan monopoli berleluasa tanpa batas dan milikan harta individu yang langsung tidak boleh disentuh.


malangnya itu tidak berlaku. hatta negara paling kapitalis seperti Amerika Syarikat sekalipun masih ada undang-undang mencegah monopoli iaitu antitrust law bahkan mungkin lebih baik dari kita dari segi perlaksanaannya. kalau masih ingat kerajaan US menyaman Bill Gates sebab cuba membeli syarikat Quickbooks.


Negara kita yang mengamalkan unsur kapitalisme juga masih perlu bayar zakat dan cukai untuk diberikan kepada rakyat. tiada negara yang mengamalkan sistem kapitalisme secara 100% sebab ia akan merosakkan masyakarat. bila ada orang menentang sistem kapitalisme, itu bermakna dia menentang sistem kapitalisme tulen.


2. SISTEM SOSIALISME TULEN: sesebuah negara yang mengamalkan sosialisme tulen akan menyerahkan semua harta individu kepada negara. maknanya sudah tidak ada lagi geran tanah atas nama kita. dalam sistem ini juga sudah tidak wujud lagi kedai makan McDonald, KFC atau syarikat besar seperti SAMSUNG, TOYOTA, SIME DARBY sebab semua ini adalah unsur kapitalisme (permodalan). semua kilang dan perusahaan pertanian dan galian akan diuruskan oleh rakyat dan wang dibahagikan sama rata.


ini sudah tidak berlaku hatta di negara-negara komunisme (anak sosialisme) sekalipun seperti China dan Russia sudah tidak dapat bertahan dengan sistem sebegini sebab semua orang sudah malas nak berkerja. sebab itu bila kita pergi ke negara-negara blok komunis, kita akan dapat lihat KFC dan McD bertaburan di dalam bandar-bandar mereka.


formula mudah untuk mengetahui adakah satu-satu negara itu ada unsur kapitalisme atau tidak ialah dengan lihat wujudkah KFC atau McD di negara mereka.


formula mudah untuk melihat adakah satu-satu negara itu ada unsur sosialisme atau tidak adalah dengan melihat adakah jabatan kerajaannya (bomba, hospital, polis) memberikan perkhidmatan percuma kepada rakyat.


3. SISTEM DEMOKRASI TULEN: mana-mana negara sekalipun yang mengatakan bahawa mereka mengamalkan demokrasi secara 100% adalah berbohong. cara untuk menyemak sama ada sesebuah negara itu mengamalkan sistem demokrasi tulen ialah dengan melihat bangunan dewan parlimen negara itu.


jika dewan parlimen negara itu hanya boleh memuatkan beratus-ratus perwakilan, mereka tidak mengamalkan sistem demokrasi yang ideal. negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang ideal akan mempunyai dewan parlimen yang boleh memuatkan semua rakyat dalam negara itu. Barulah setiap keputusan itu benar-benar mendapat suara majoriti.


lihat sahaja negara kita. menang 47% tapi masih boleh jadi kerajaan. jadi negara kita tidak mengamalkan sistem demokrasi secara 100%.


KESIMPULAN:


bila ada orang yang berkata mereka menentang sistem kapitalisme atau sistem sosialisme, SAYA BERSETUJU. sebab yang dimaksudkan oleh orang-orang ini ialah menentang kapitalisme atau sosialisme yang ideal. malangnya sudah tidak ada negara yang mengamalkan kapitalisme 100%  atau sosialisme 100%. sebab itu perlu diminta penjelasan dari mereka.


KAPITALISME DAN SOSIALISME ADA UNSUR ISLAM


suka atau tidak, Islam ada kedua-dua unsur dari kapitalisme atau sosialisme. islam memberikan hak pemilikan harta kepada rakyat (unsur kapitalis) dan islam mahu sebahagian harta orang kaya diberikan kepada orang miskin (unsur sosialis), cuma tidak dinamakan dengan label-label itu.


In this sense, the economic agenda of pious Muslims may chart a course between capitalism and socialism that maintains private ownership but includes redistributive mechanisms (Islam and Economic Justice:
A “Third Way” Between Capitalism and Socialism? Nancy J. Davis http://citation.allacademic.com//meta/p_mla_apa_research_citation/1/0/8/5/0/pages108508/p108508-1.php)


sama seperti kata Hassan al-Banna "“Dengan ini anda dapat menyaksikan sendiri kita sependapat bersama pendokong patriotisme. Malah kita juga turut bersama GOLONGAN FANATIK PATRIOTISME dalam mendokong semua nilai baik yang dapat membawa kebaikan kepada negara dan manusia. Anda juga dapat saksikan bagaimana seluruh nilai patriotisme tidak lain hanyalah sebahagian dari ajaran Islam” (Imam as-syahid Hassan al-Banna: Majmuk Rasail: ms 33)"


atau kata-kata Dr Yusof Qardhawi : “realitinya, seseorang yang meneliti intipati demokrasi pasti akan mendapati bahawa ia adalah berasal daripada Islam yang sebenar” (fiqh daulah: ms 2078)


mana-mana wakil rakyat yang dilabelkan sosialis, mestilah didetailkan apakah yang bercanggah dengan Islam. jangan terlalu gopoh untuk menuduh kafir kepada orang lain.



SOSIALISME YANG MANA YANG MEROSAKKAN AKIDAH


akidah kita tidak rosak hanya dengan perkataan sosialisme. Islam tidak sejumud itu. bila kita hendak menghukum, kita tidak boleh terburu-buru yang ini terkeluar dari Islam dan yang itu terkeluar dari Islam hanya dari nama atau sebab datangnya dari orang bukan Islam. kalau begitu banyak buku-buku motivasi barat yang perlu diharamkan.


Akidah kita juga tidak rosak dengan terjemahan sosialisme yang bermaksud kemasyarakatan. Akidah kita juga tidak rodak dengan takrifan sosialisme yang bermaksud sistem ekonomi milik rakyat. perlu diulang di sini bahawa takrifan sosialisme adalah takrifan umum dan satu jenis sosialisme tidak sama dengan jenis sosialisme yang lain. jangan bagi hukum borong haram.


berkata Dr Yusof Qardhawi : “menyerupai non-muslim yang dilarang adalah menyerupai pada tanda-tanda kebesaran agama mereka seperti memakai salib bagi orang kristian,obor api bagi orang majusi dan seumpamanya. Inilah yang akan menjerumuskan pembuatnya ke dalam kumpulan orang yang diserupainya yang menjadikan dia dianggap sebahagian daripada mereka” (fiqh daulah: ms 254).


setakat pengamatan saya yang dhaif ini, saya mendapati sosialisme yang bermazhab komunisme sahaja yang jelas merosakkan akidah. sosialisme jenis lain perlu diperhatikan dan dikaji sebaik mungkin dan dilihat intipatinya sebelum memberikan sebarang pandangan. sebab yang sangat terkenal mengapa komunisme terkeluar dari Islam ialah kerana pengasas pemikiran ekonominya iaitu Karl Marx menuduh Islam adalah candu masyarakat.  


Karl Marx's religious views have been the subject of much interpretation. He famously stated in Critique of Hegel's Philosophy of Right
"Religious suffering is, at one and the same time, the expression of real suffering and a protest against real suffering. Religion is the sigh of the oppressed creature, the heart of a heartless world, and the soul of soulless conditions. It is the opium of the people.


bukan sekadar itu, hampir semua pemerintahan di bawah kuasa Komunisme adalah bersifat mulhid/ateisme (tidak bertuhan). banyak rakyat yang tidak berdosa dan rumah ibadah sama ada masjid atau tempat ibadah agama lain dimusnahkan di bawah pemerintahan Komunisme.


Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah". Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; - (Al-Hajj 22:40)


ADAKAH ORANG YANG MASUK PARTI SOSIALIS TERBATAL SYAHADAH?


kita tidak boleh terus menghukum orang yang memasuki parti sosialis terbatal syahadah hanya kerana nama sosialis. sepertimana yang diberitahu sebelum ini, menggunakan nama Islam dalam perjuangan politik, ekonomi dan sosial adalah bersifat lebih afdhal dan bukan wajib.


perlu diingat kebanyakkan pertubuhan sosialis yang bergerak dalam negara demokrasi adalah bermazhab sosialis demokrat atau terjemahannya ialah orang yang memperjuangkan ekonomi rakyat dalam konteks demokrasi. Ini bermaksud mereka menghormati hak kebebasan beragama atau dalam kata lain bersifat liberal dalam hal kebebasan beragama.


Jika kita hendak mengkafirkan kumpulan sosialis demokrat kerana bersifat liberal terhadap agama, kita juga perlu mengkafirkan orang-orang Islam yang masuk ke mana-mana parti yang ahlinya terdapat pelbagai jenis latar belakang agama.  


cuba elakkan diri dari budaya kafir-mengkafir mengikut sabda Rasulullah “Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).



PENDAPAT HASSAN AL-BANNA TERHADAP SOSIALISME, KAPITALISME DAN KOMUNISME


untuk berlaku adil terhadap ilmu dan Hassan al-Banna, saya nyatakan di sini kata-kata Imam Hassan al-Banna berkaitan sosialisme, kapitalisme dan komunisme. saya pada mulanya menunggu orang yang tidak bersetuju dengan penulisan saya untuk menyatakan kata-kata ini tetapi itu tidak berlaku.


Hassan al-Banna berkata: “... Dalam masa yang sama wujud pertembungan di antara pelbagai teori ekonomi moden di Mesir seperti kapitalisme, sosialisme dan komunisme. Cara yang terbaik sebenarnya ialah dengan kita menetepikan kesemua teori ini. sebaliknya kita tumpukan segala aspek ekonomi kita kepada asas-asas dan ajaran Islam yang mulia ini. kita perlu cedok dan laksanakan sepenuhnya asas-asas ini. Dengan itu kita terselamat daripada terjebak dengan kesilapan dan kelemahan yang wujud pada teori-teori yang lain…” (Himpunan Risalah Hassan al-Banna: 339)


Jika saudara hanya melihat kata-kata ini dan menutup semua penulisannya yang lain, maka ini bermaksud semua perkara atas nama “isme” adalah haram. tetapi jika kita jujur terhadap ilmu dan menggabungkan kembali kata-kata Hassan al-Banna yang saya tulis sebelum ini bersama rujukan bagaimana Hassan al-Banna memuji sebahagian konsep nasionalisme dan patriotisme, saudara akan memahami bahawa yang ditolak oleh Hassan al-Banna bukan ‘isme’ tapi apakah unsur yang bertentangan dengan Islam yang terdapat di dalamnya.


masalah dengan kita ialah kita mengambil kata-kata tokoh yang ditulis pada tahun 1940an pada zaman berlakunya perang dunia kedua dan cuba untuk dikekalkan idea itu pada zaman sekarang. Perlu diingat kefahaman tentang takrifan sosialisme pada 1940an tidak sama dengan pengertian sosialisme pada alaf ke 21. Buka mata, buka pemikiran dan mengembaralah, anda akan mengerti perbezaannya.

Ini sama dengan kata yusuf Qardhawi mengenai kefahaman Hassan al-Banna tentang politik kepartian "Mungkin kalau dia masih hidup hingga ke hari ini, beliau akan berpandangan seperti kita. Sesungguhnya fatwa berubah mengikut perubahan masa, tempat dan keadaan, lebih-lebih lagi dalam masalah politik yang banyak berlaku perubahan" (Fiqh Daulah: 259) 

Ini sama dengan rukun tajarrud dalam Risalah Taalim, Hassan al-Banna berkata “yang saya maksudkan dengan tajarrud ialah membebaskan diri dari prinsip-prinsip dan individu-individu yang lain daripada fikrah saudara kerana fikrah saudara adalah fikrah yang paling tinggi dan lengkap.”.


Kata Hassan al-Banna selari dengan apa yang saya maksudkan sebelum ini. Kita teruskan dengan ekonomi Islam. kita tinggalkan kapitalisme,sosialisme dan komunisme yang idea/tulen. Dengan mengambil sistem Islam, kita akan terselamat dari kelemahan sistem-sistem lain.


Pentakrifan halal haram di dalam buku dan aplikasinya di dunia sebenar tidak semudah yang kita sangkakan. Dalam buku secara teorinya cukup mudah untuk kita meletakkan batas apa yang halal dan apa yang haram. Tetapi untuk meletakkan batas yang sama pada individu dan organisasi pada dunia sebenar adalah tidak mudah. Kalau kita meletakkan halal haram pada dunia sebenar semudah kita meletakkan halal haram seperti dalam buku atau teori, kita sudah termasuk dalam golongan yang gopoh.


“Dijadikan manusia itu bersifat terburu-buru atau gopoh-gapah.” (Al Anbiya’: 37)


PENUTUP PERBINCANGAN TENTANG ISME


bermulanya penulisan saya tentang isme ini adalah apabila saya melihat ramai sahabat sesama jamaah yang memberikan tuduhan liar kepada orang lain dengan label Islam liberal, Islam sosialis, Islam demokrat dan sebagainya sedangkan mereka sendiri tidak mendalami maksud disebalik label-label yang diberikan. bila ada sahabat yang memberikan tuduhan yang bukan-bukan hanya apabila ada tokoh yang menyebut tentang liberalisme (keterbukaan), pada masa itu saya mula yakin yang ahli jamaah kita sudah mula membuat tuduhan liar tanpa faham apa yang mereka tuduh itu.


budaya kafir-mengkafir hanya kerana perbezaan politik ini mesti dijauhkan dari meresap ke dalam ahli gerakan Islam. Bila saya kata bahawa kalau anda menuduh seseorang itu Islam liberal, Islam sosialis atau Islam demokrat bermaksud anda telah mengkafirkannya, anda tidak mengaku dan berkata anda tidak mengkafirkan sesiapa. Bila saya tanya adakah Islam liberal, Islam sosialis dan Islam demokrat itu kafir dan terkeluar dari Islam, anda jawab ya.


Jangan mudah untuk menuduh orang lain kafir dengan begitu sahaja. Ini perkara yang amat dilarang dalam Islam. Setiap tuduhan mestilah disertakan dengan bukti, rujukan dan penerangan yang jelas. Perbuatan orang yang dituduh kafir itu mestilah tidak boleh ditakrifkan dengan cara lain melainkan kafir.


Saya ulang kembali lagi pendirian saya. Kita hanya menerima Islam sebagai cara hidup. Kita menolak isme-isme lain yang bercanggah dengan Islam. setiap tuduhan terhadap isme mestilah diperhalusi tentang apa yang salahnya dan bukannya secara borong mengharamkan isme. Itu cara yang Hassan al-Banna tunjukkan kepada kita.


Kita hendaklah berlaku adil kepada orang orang lain walau dari kumpulan mana sekalipun dia datang. ini sepertimana kata Hassan al-Banna


“Hendaklah saudara berlaku adil dan benar dalam menjalankan sesuatu hukum walau apapun jua perkaranya. Janganlah saudara lupakan kebaikan orang lain sebab saudara marah dan sebaiknya pula, janganlah saudara memejam mata daripada kejahatan-kejahatan mereka itu, sebab saudara sayang. Budi baik orang lain hendaklah dikenang walaupun ketika dalam keadaan permusuhan.Hendaklah saudara bercakap benar walaupun terhadap diri sendiri atau terhadap orang yang paling hampir dengan saudara sekalipun cakapan yang benar itu pahit dan maung akibatnya.” (Risalah Taalim : kewajipan al-akh 21)


sekian,


Ibnu Ismail,

Klang