Sunday, October 6, 2013

dakwah, tarbiyah dan siasah

sebenarnya sudah banyak kali saya menahan diri dari memberikan komen berkaitan slogan "dakwah, tarbiyah dan siasah" yang terdapat pada sticker, poster facebook dan ucapan-ucapan penceramah. saya fikir walaupun saya tidak bersetuju secara ilmiah slogan ini, kita sepatutnya cuba menghormati perkara baik yang orang lain lakukan. 

sehingga pada satu usrah naqib menyebut kembali slogan "dakwah, tarbiyah dan siasah" di hadapan saya menyebabkan saya tergerak untuk memberikan komen. saya memecahkan azam untuk tidak memberi komen dan menyatakan apakah pendapat saya berkaitan slogan ini. walaupun perbincangan berjalan dengan baik, saya dapat merasakan suasana tegang terhasil dari komen yang saya berikan terhadap slogan "dakwah, tarbiyah dan siasah".

bak kata pepatah, 'alang-alang mandi, biar sampai basah'. alang-alang sudah memberikan komen, biar sampai siap artikel menjelaskannya.

MENGAPA "DAKWAH, TARBIYAH DAN SIASAH" KURANG TEPAT

'dakwah, tarbiyah dan siasah' adalah satu konsep yang agak memeningkan kepala kerana konsep ini tidak sesuai untuk masuk ke kategori pembahagian gerakkerja dan tidak juga sesuai untuk masuk ke ciri-ciri kesyumulan gerakan islam. saya akan terangkan satu persatu dalam 2(DUA) isi penting:

1. Bukan kategori pembahagian gerakkerja

pembahagian gerakkerja seperti yang kita sedia maklum ialah ta'arif (pengenalan), takwin (pembentukan) dan tanfidz (perlaksanaan). untuk memahami konsep ini memerlukan penulisan yang lain bahkan saya sudah menyiapkan satu artikel yang saya sudah lampirkan di bawah artikel ini. Ringkasnya takrif, takwin dan tanfidz adalah kategori cara berkerja iaitu membuat dakwah umum, membentuk ahli dan melaksanakan gerakkerja. 

terlalu ramai pendakwah yang tersilap konsep ini dengan pembahagian keahlian. mereka yang mengangggap ta'rif, takwin dan tanfidz adalah peringkat keahlian dimana tanfidz adalah peringkat kepimpinan. ini adalah kefahaman yang salah terhadap konsep ini.  

saya tidak pernah menjumpai satupun rujukan dan penulisan terdahulu yang memperkenalkan slogan 'dakwah, tarbiyah dan politik' tapi saya merasakan bahawa sesiapa sahaja yang mencetuskan idea ini mungkin terpengaruh dengan kategori gerakkerja yang diperkenalkan oleh Hassan al-Banna dengan menukarkan ta'rif kepada dakwah (tepat), takwin kepada tarbiyah (tepat) dan tanfidz kepada politik (kurang tepat). 

mengapa saya mengatakan slogan 'dakwah, tarbiyah dan siasah' menyebabkan kesilapfahaman terhadap gerakkerja dakwah adalah kerana apabila kita menukarkan tanfidz (perlaksanaan) kepada politik, ia telah menyempitkan ruang lingkup tanfidz sedangkan melakukan gerakkerja ekonomi, kesihatan, kebajikan, pembersihan akhlak dan lain-lain lagi juga termasuk dalam maksud 'perlaksanaan/gerakkerja' (tanfidz). Kita selalu menyatakan kita ingin keluar daripada imej parti politik kepada gerakan Islam tapi nampaknya dengan slogan ini, kita mendekati imej parti politik.

kesimpulan: kalau perlu dipilih antara konsep 'ta'rif, takwin dan tafidz' dengan konsep 'dakwah, tarbiyah dan politik', saya akan memilih konsep 'ta'rif, takwin dan tanfidz' kerana konsep ini lebih menyeluruh dan merangkumi semua aspek. 

saya bersetuju jika slogan 'dakwah, tarbiyah dan siasah' ditukarkan kepada 'dakwah, tarbiyah dan gerakkerja' kerana slogan ini adalah lebih menyeluruh dan merangkumi semua aspek termasuk politik, sosial, ekonomi, akhlak dan sebagainya. tahniah kepada sesiapa yang memulakan slogan ini sebab dia sudah meringkaskan ta'rif, takwin dan tanfidz kepada perkataan yang lebih mudah untuk ditelan oleh orang ramai.   

2. bukan ciri-ciri kesyumulan gerakan islam

slogan 'dakwah, tarbiyah dan siasah/politik' juga kurang sesuai untuk dijadikan sebagai ciri-ciri kesyumulan gerakan islam kerana sudah ada ciri-ciri lain yang juga dijelaskan oleh Imam Hassan al-Banna yang lebih tepat iaitu:

1. dakwah salafiah
2. tariqat sunnah
3. hakikat sufi
4. institusi politik
5. kumpulan riadhah
6. perikatan ilmiah
7. syarikat ekonomi
8. fikrah kemasyarakatan

(Himpunan Risalah Hassan al-Banna ms 236)

jika dikaji secara mendalam kita akan mendapati betapa mendalamnya kefahaman Hassan al-Banna terhadap konsep kesyumulan gerakan Islam apabila membuat penyenaraian ini. Beliau tidak meninggalkan satu pun konsep yang penting dalam tajdid islam apabila menyenaraikan 8 ciri-ciri kesyumulan gerakan Islam. 

cuba bandingkan 'dakwah, tarbiyah dan politik' dengan 8 ciri kesyumulan gerakan Islam yang disenaraikan oleh Hassan al-Banna, yang mana satu lebih menyeluruh dan menyentuh semua aspek? Yang mana satu menggambatkan kesyumulan amal islami? itu sebab saya katakan slogan 'dakwah, tarbiyah dan politik' juga tidak sesuai untuk dikategorikan sebagai konsep kesyumulan gerakan Islam. 

jadi persoalan saya ialah slogan 'dakwah, tarbiyah dan siasah' termasuk dalam kategori apa? apakah slogan ini sebenarnya? slogan ini melengkapkan teori amal islami di bahagian mana? 


NASIHAT KEPADA ORANG YANG MENCIPTA SLOGAN "DAKWAH, TARBIYAH DAN SIASAH"

jika anda menjumpai orang yang mula-mula memperkenalkan slogan 'dakwah, tarbiyah dan siasah' sampaikan mesej ini:

terima kasih kerana mencipta satu slogan untuk diikut oleh ahli gerakan Islam. Pahala anda hanya Allah yang boleh membalasnya. walaubagaimanapun saya ingin bertanya; adakah anda memahami konsep "ta'rif (dakwah umum), takwin (pentarbiyahan ahli) dan tanfidz (gerakkerja)"? 

sebab jika anda sudah memahami konsep ta'rif, takwin dan tanfidz, anda tidak akan lagi mencipta satu slogan baru yang seakan-akan sama dengan yang diperkenalkan Hassan al-Banna. saya mengandaikan bahwa anda (pencipta slogan 'dakwah, tarbiyah dan siasah') adalah orang tersilap faham bahawa ta'rif, takwin dan tanfiz adalah peringkat keahlian yang mana ta'rif ialah ahli baru, takwin adalah ahli peringkat menengah dan tanfiz adalah kepimpinan sedangkan kefahaman ini adalah salah.

di malaysia, dari semua orang yang pernah mendengar ta'rif, takwin dan tanfiz, 90% daripada mereka salah kefahaman. saya mengandaikan anda (pencipta slogan) membuat slogan 'dakwah, tarbiyah dan siasah' kerana:

1. anda tidak tahu yang Imam Hassan al-Banna sudah membuat slogan ini di dalam bukunya Risalah Ta'alim pada rukun taat yang dinamakan "ta'rif, takwin dan tanfiz".

2. anda ingat bahawa ta'rif, takwin dan tanfiz adalah peringkat keahlian jadi anda rasa belum ada lagi orang yang mengasaskan teori gerakkerja Islam atau jenis-jenis gerakkerja.

maaf jika saya tersilap. 

KESIMPULAN

Ini bukan bermaksud saya taksub kepada Hassan al-Banna dan cuba menidakkan teori orang lain. cuma pada pemerhatian saya, tidak banyak teori amal islami baru yang boleh ditukar dengan teori amal Islam yang Hassan al-Banna tulis hampir seratus tahun dahulu. Jika adapun, Imam Hassan al-Banna sudahpun meletakkan asas tentang teori baru itu. Saya sertakan di sini kata-kata syeikh Sa'id Hawwa berkenaan teori amal Islami Hassan al-Banna:

1. "...sepatutnya mereka hendaklah mengetahui bahawa gerakkerja yang tidak berdasarkan kepada pemikiran Hassan al-Banna adalah tidak mencukupi, kabur dan mustahil sekiranya kita menginginkan suatu amalan yang sempurna dalam khidmat kita terhadap Islam dan kaum muslimin" (pendidikan harakah Islamiyah, said hawwa :ms 1)

2. "walaubagaimanapun kita perlu beringat bahawa ianya bukan bermakna ustaz Hassan al-Banna tidak salah. ... Ia juga tidak bermakna kita tidak perlu mengambil kira faktor masa dan tempat. Memang boleh seseorang itu mengkritik apa yang dicipta oleh Hassan al-Banna dan jamaah juga boleh untuk tidak mengikut cara Hassan al-Banna. Jadi pengkajian yang MENDALAM serta kepercayaan yang mutlak, berserta pula dengan resolusi jamaah dengan pengasasnya yang BIJAKSANA, hanya dengan itu sahajalah satu-satunya cara yang boleh mengubah teori yang dikemukakan oleh ustaz Hassan al-Banna" (pendidikan harakah islamiyah, said hawwa:ms 10)

3. "Jelasnya ustaz Hassan al-Banna adalah pengasa teori amal islami. Dialah yang telah mengemukakan suatu pemikiran yang boleh dipegang dan boleh dilaksanakan. Teori yang boleh membawa seseorang muslim dari permulaan sehingga kesudahan. ... Mana-mana pemikiran kini tidak dapat membebaskan diri dari pemikiran ustaz hassan al-Banna. oleh itu pemikiran Hassan al-Banna adalah pemikiran yang menyeluruh yang merangkumi semua keperluan kita" (pendidikan harakah islamiyah, said hawwa: ms11)

saudara mungkin merasakan kita terlalu sibuk berteori tetapi kefahaman adalah penting. kefahaman yang betul akan menghasilkan kerja yang betul dan kefahaman yang salah membawa kepada cara berkerja yang salah.  kefahaman yang syumul akan menghasilkan gerakkerja yang syumul dan begitu juga sebaliknya.Itu sebabnya dalam rukun baiah, rukun FAHAM berada di permulaan. kalau gerakkerja kita menghabiskan banyak tenaga dan masa tapi pencapaian tidak ke mana, semak kembali teori kita. 

saudara boleh terus menggunakan slogan ini (dakwah, tarbiyah dan siasah), ia bukan satu kesalahan. cuma Hassan al-Banna guna perkataan tanfiz (gerakkerja/perlaksanaan), kita pergi guna perkataan politik. politik itu sempit sedangkan tanfiz (gerakkerja) itu luas yang merangkumi politik, ekonomi, sosial, keilmuan, kesihatan dan pelbagai bidang lain. bila lagi kita mahu keluar dari imej parti politik kepada organisasi Islam yang menyeluruh? 

satu teori yang betul dan kukuh adalah teori yang tahan hujah. Maknanya walaupun dihujani pelbagai hujah yang berbeza, ia masih berdiri kukuh seperti mana konsep takrif, takwin dan tanfidz, rukun baiah, peringkat amal, usul isyrin yang mana konsep-konsep ini hampir kalis peredaran zaman. Lihat sahaja pembahagian feqah yang diasaskan imam abu hanifah, pembahagian maqasid syariah yang diasaskan asy-syatibi, ilmu usul fiqh yang diperkenalkan oleh Imam Syafie, semuanya kalis teori yang berbeza dan peredahan masa kerana teorinya tepat.

TAMAT